Terpulang Hamzah soal ‘rumah baharu’, PAS utama selamatkan PN, kata Hadi

Terpulang Hamzah soal ‘rumah baharu’, PAS utama selamatkan PN, kata Hadi

Presiden PAS berkata keutamaan parti itu untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan politik.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang
Hadi Awang berkata beliau telah menemui ‘kem Hamzah dan ‘kem Muhyiddin’ yang mengemukakan hujah masing-masing berhubung situasi politik semasa.
PETALING JAYA:
PAS menyerahkan sepenuhnya kepada bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang dikatakan akan menyertai ‘rumah baharu’ dengan mengambil alih parti lain sekiranya itu menjadi pilihannya.

Presiden PAS Hadi Awang bagaimanapun berkata keutamaan parti Islam itu ketika ini untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan politik.

“Itu terpulang pada dia, yang penting PAS berpendapat, kita nak selamatkan PN dulu. Sebab bila kita nak perintah negara mesti libatkan semua pihak,” katanya pada sidang media di Marang, Terengganu.

Hadi mengulas laporan media berhubung kemungkinan Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Utusan Malaysia melaporkan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Yunus Nurdin berkata Hamzah akan mengambil alih parti kecil bagi memperluaskan pengaruhnya menjelang PRU16.

Dalam perhimpunan sehari selepas dipecat pada 13 Feb lalu, Hamzah mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selain mengumumkan gerakan ‘reset’ untuk membina semula negara dengan menyeru ‘sahabat’ beliau menyokong perjuangannya.

PN akan mengadakan mesyuarat luar biasa Ahad ini untuk memilih pengerusi baharu susulan peletakkan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Isu pengerusi PN yang berlarutan hampir dua bulan menyebabkan pertikaman lidah membabitkan segelintir pemimpin Bersatu serta PAS.

PAS telah mengumumkan hasrat untuk mengetuai PN dan memegang jawatan pengerusi.

Dalam pada itu, Hadi berkata ‘kem Hamzah’ dan ‘kem Muhyiddin’ telah menemuinya dengan mengemukakan hujah masing-masing berhubung situasi politik semasa.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata beliau telah mendengar hujah kedua-dua belah pihak dan mahu menyelesaikan isu berbangkit.

“Jadi semua jumpa saya, semua pihak. Pihak Hamzah jumpa, pihak Muhyiddin jumpa. Dua-dua jumpa belaka.

“Masing-masing ada hujah masing-masing. Saya dengar belaka sebab kita nak selesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.