
Menolak spekulasi wujud keretakan hubungan dengan Hashim, Tuan Ibrahim berkata kepimpinan tertinggi PAS masih menghormati beliau sebagai pimpinan spiritual dalam parti.
“Kalau kita lihat dari segi ahli Majlis Syura, presiden (Hadi Awang) ialah ahli Majlis Syura. Saya pun ahli Majlis Syura. Majlis Syura bukan mursyidul am. Mursyidul am ialah pengerusi kepada Majlis Syura. Tetapi keputusan mestilah keputusan Majlis Syura.
“Pandangan mursyidul am adalah pandangan beliau. Tetapi bukan semestinya pendapat beliau itu sama dengan Majlis Syura. Tidak. Namun, kami menghormati Majlis Syura itu, dan mursyidul am sebagai pimpinan spiritual kita dalam parti,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Tuan Ibrahim juga berkata, pandangan berbeza adalah perkara normal yang boleh diatasi dalam PAS.
“Sebab kita selalu bermesyuarat, selalu berjumpa. Presiden dengan mursyidul am ini tidak ada masalah pun.
“Selalu berjumpa, duduk berbincang. Jika ada pandangan berbeza sekali pun, kita ada platform untuk mengatasinya. Ia masalah teknikal, bukan masalah asas,” katanya.
Beliau menegaskan, Majlis Syura bukan badan eksekutif dan peranannya ialah memandu parti sebagai penasihat.
“Sebarang polisi parti yang ingin dilaksanakan akan dirujuk kepada Majlis Syura dan boleh dipersetujui atau ditolak sekiranya bercanggah dengan hukum syarak,” katanya.
Bulan lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut menafikan wujud perpecahan antara kepimpinan pusat parti itu dengan Majlis Syura, sambil berkata hubungan antara kedua-dua kumpulan kepimpinan tersebut adalah harmoni.
Kenyataan itu dibuat selepas Hashim mempersoalkan tindakan tergesa-gesa kepimpinan PAS menamatkan keanggotaan tiga bekas Adun Perlis bulan lalu kerana menarik balik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.
Dua hari lalu, Hashim sekali lagi mengkritik kepimpinan pusat PAS dengan berkata isu dalaman melibatkan Shukri telah dibawa kepada perhatian jawatankuasa pusat PAS sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan diambil untuk menangani perkara tersebut.