Hamzah muat naik gambar bersama PAS di Rusila

Hamzah muat naik gambar bersama PAS di Rusila

Hamzah Zainudin muat naik gambar minum petang bersama Presiden Hadi Awang, serta pemimpin lain.

Gambar dimuat naik Hamzah Zainudin, memaparkan beliau bersama pemimpin PAS susulan laporan mengenai pemecatan beliau. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hamzah Zainudin memuat naik gambar bersama pemimpin PAS, termasuk Presiden Hadi Awang, di sebalik liputan media berhubung pemecatan beliau daripada Bersatu.

Gambar di Facebook memaparkan bekas timbalan presiden itu bersama Hadi, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uarkan calon PAS untuk jawatan pengerusi Perikatan Nasional, dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman.

Turut serta seperti Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee yang pernah menggesa Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan, serta Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.

“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah adalah sebaik-baik perancang,” kata Hamzah di Facebook.

Awal hari ini, Bersatu memecat Hamzah, yang juga ketua pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Lembaga disiplin menyatakan Hamzah melanggar peruntukan perlembagaan parti yang memerlukan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika, dan tata kelakuan parti.

Selepas Hamzah, Bersatu turut memecat 16 pemimpin termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Saifuddin dan Wan Saiful dipecat pada Oktober dan Januari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.