
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu akan mengadakan mesyuarat luar biasa Ahad ini, dengan agenda utama memilih pengerusi yang kosong sejak 1 Jan lalu.
Dakwanya, parti komponen yang turut terdiri dari Gerakan dan MIPP telah bersetuju PAS menerajui gabungan itu dan menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Takiyuddin menjelaskan calon bagi lantikan jawatan itu sudah ada. Namun beliau enggan mendedahkan identitinya.
Jika ikut kemahuan Bersatu penggantinya harus presiden parti. Namun Presiden PAS Hadi Awang telah menolak pencalonan itu atas faktor kesihatan.
Jadi pengganti Muhyiddin dari PAS mungkin Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man atau Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, nama disebut Muhyiddin sebagai calon perdana menteri masa depan gabungan itu.
Timbul persoalan sama ada Bersatu, Gerakan dan MIPP telah menerima pencalonan bagi pemimpin bukan dari kalangan presiden. Jika ikut kenyataan, Takiyuddin sepatutnya tidak lagi berbangkit.
Maksudnya mesyuarat di Pejabat Agung PAS itu hanya untuk mengesahkan dan tiada lagi bantahan.
Jika Bersatu kekal dengan pendiriannya, mungkin ada sedikit masalah yang mungkin membawa kepada kemelut baharu dalam PN.
Melihat kesan perang mulut membabitkan pemimpin Bersatu dan PAS sebelum ini, PN pastinya mahu mengelakkan insiden berkenaan mencemarkan imej menjelang PRU16.
Ini boleh dielakkan jika Hadi mahu buat ‘pusingan U’ sekali gus mengetuai PN dan berkemungkinan besar menjadi calon perdana menteri bagi komponen itu.
Faktor Hamzah, musuh nombor satu Muhyiddin
Pemecatan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dari Bersatu juga menambah perisa menjelang pemilihan pengerusi baharu PN. Ini kerana kedudukannya sebagai timbalan pengerusi PN yang mungkin belum terlucut dan perlu disahkan majlis tertingginya.
Timbul persoalan sama ada bekas timbalan presiden Bersatu itu boleh hadir ke mesyuarat terbabit. Jika ya, boleh digambarkan bagaimana kehangatan perbincangan lebih-lebih lagi selepas Hamzah umum menjadi musuh nombor satu Muhyiddin.
Perseteruan antara kedua-duanya dikatakan mulai hangat sejak Hamzah dipilih ketua pembangkang pada Disember 2022 walaupun kedudukannya ketika itu hanya setiausaha agung PN serta Bersatu.
Mengikut komposisi ahli Dewan Rakyat dari pembangkang, jawatan itu sepatutnya disandang PAS tetapi parti Islam terbabit menolaknya dan menyerahkannya kepada Bersatu.
Hamzah dipilih dan PAS dikatakan menyokong beliau. Sementara itu, Muhyiddin duduk di sebelah timbalannya yang memainkan tugas panglima perang pembangkang ‘berperang’ dengan kerajaan di Parlimen.
Pemecatan Hamzah mungkin menambah kejanggalan untuk PAS sama ada menyokongnya atau kekal bersama Muhyiddin serta Bersatu dalam konteks PN.
Dari satu sudut parti itu dilihat rapat dengan Hamzah yang sering menyertai sesi ‘usrah’ diketuai Hadi setiap kali musim Parlimen bersidang, lazimnya diadakan di Pejabat Agung PAS.
Tetapi seperti ditegaskan Hadi dan Tuan Ibrahim, parti itu juga mahu penyatuan dalam PN juga diperkasakan.
Akhirnya, mesyuarat Ahad ini bukan sekadar soal mengisi kerusi pengerusi yang kosong hampir dua bulan, tetapi ujian sebenar keutuhan PN sebagai sebuah gabungan mahu dilihat matang dan bersedia mentadbir.
Sama ada PAS tampil sebagai pendamai, Muhyiddin kekal sebagai arkitek utama, atau Hamzah muncul sebagai pemboleh ubah yang merumitkan keadaan, keputusan Ahad ini akan menentukan sama ada PN benar-benar telah menemui kemudinya semula atau sekadar menangguhkan badai lebih besar.
Jika kesepakatan gagal dicapai, ‘ribut kecil’ sedang melanda mungkin petanda awal kepada gelora lebih dahsyat menjelang PRU16.
Dalam politik, kapal yang terlalu lama berlegar tanpa arah akhirnya akan karam, bukan kerana serangan lawan, tetapi akibat perpecahan dari dalam.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.