Hadi gesa ahli PAS Perlis taat kepimpinan pusat

Hadi gesa ahli PAS Perlis taat kepimpinan pusat

Presiden PAS tegaskan pelantikan parti mesti dihormati, selain dakwa wujud rasa tidak puas hati pasca kemenangan pilihan raya di Perlis.

hadi awang
Presiden PAS Hadi Awang berkata pelantikan jawatan termasuk pesuruhjaya PAS negeri dan kepimpinan kerajaan negeri perlu dihormati dan ditaati oleh semua ahli parti.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Hadi Awang menggesa seluruh ahli parti di Perlis supaya kekal setia dan patuh kepada kepimpinan parti yang dilantik oleh kepimpinan pusat, di sebalik pergolakan pentadbiran negeri baru-baru ini.

Dalam surat terbuka kepada ahli PAS di Perlis, Hadi berkata PAS Pusat yang dipilih melalui muktamar tahunan mempunyai kuasa mentadbir dan membuat pelantikan di semua peringkat selaras dengan perlembagaan parti.

Justeru, katanya, pelantikan jawatan termasuk pesuruhjaya PAS negeri dan kepimpinan kerajaan negeri perlu dihormati dan ditaati oleh semua ahli parti.

“PAS Pusat telah memilih pesuruhjaya PAS Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura ‘Ulamak, jawatan yang paling bersih dalam PAS.

“Jihad itu wajib bersama ketua yang dilantik, sama ada dia seorang yang baik atau seorang yang jahat, melainkan arahan mengerjakan maksiat,” katanya.

Beliau menegaskan Majlis Syura Ulama bertanggungjawab memastikan dasar tertinggi parti berlandaskan al-Quran dan sunnah, manakala urusan pentadbiran berada di bawah bidang kuasa PAS Pusat, selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi parti.

“Majlis Syura ‘Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.

“Manakala, PAS Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan di semua peringkat dan di bawah pentadbirannya dan mengawasi kerajaan negeri termasuk jawatan pesuruhjaya PAS negeri, menteri besar dan lain-lain yang wajib ditaati arahannya,” katanya.

Menurutnya, siasatan kepimpinan pusat selepas kemenangan pilihan raya negeri mendapati terdapat sebahagian pemimpin secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dilantik ke jawatan tertentu.

“Apabila sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik, sifat itu jelas bercanggah dengan prinsip kepimpinan yang diajar Islam,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat laporan berlakunya lobi tidak berakhlak dalam mesyuarat parti yang menurutnya, berpotensi merosakkan perpaduan dalaman serta menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita telah melakukan tabayyun terhadap aduan daripada Perlis sejak awal menerima pengaduan selepas baharu sahaja mendapat kemenangan,” katanya sambil menambah siasatan mendapati tuduhan salah laku akhlak yang dibangkitkan tidak disokong saksi yang adil.

Hadi turut menegaskan sebahagian pihak gagal memahami cabaran pentadbiran kerajaan negeri yang masih baharu serta keterbatasan bidang kuasa kerajaan negeri dalam menyelesaikan beberapa isu.

“Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar,” katanya.

Beliau menggesa ahli PAS Perlis melakukan muhasabah diri serta mengutamakan perpaduan jemaah agar perjuangan parti tidak terjejas dan tidak memberi ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan.

“Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan,” katanya.

Minggu lalu, Mursyidul Am Hashim Jasin mendakwa isu dalaman PAS Perlis terutama membabitkan bekas menteri besar Shukri Ramli boleh diselesaikan lebih awal jika pimpinan di pusat menanganinya lebih awal.

Hashim mendakwa beliau telah melaporkan perkara dianggap tidak wajar di negeri itu termasuk kepada Hadi sejak tiga tahun lalu, namun tindakan susulan diharapkan tidak berlaku, lapor Utusan Malaysia.

Shukri meletak jawatan sebagai menteri besar pada 25 Dis lalu atas faktor kesihatan, menyusuli laporan mengatakan lapan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga daripada PAS menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan kepada beliau.

Tiga Adun PAS terbabit yang dikatakan itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Majlis Syura Ulama PAS kemudian dilaporkan menerima permohonan kemasukan bekas tiga Adun Perlis itu, yang akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan untuk pertimbangan PAS pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.