
Tuan Ibrahim berkata perkara itu sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi parti bersama Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN dijangka hujung bulan ini, lapor Sinar Harian.
“Muhyiddin sebelum ini memberi respons positif tanpa syarat. Kita mahu pengerusi diberi mandat penuh untuk menguruskan PN, manakala perkara berbangkit boleh dirujuk kepada Majlis Presiden,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, PAS belum mengumumkan calon pengerusi baharu sebagai tanda hormat kepada Muhyiddin selagi proses peletakan jawatan terbabit belum muktamad secara rasmi iaitu disahkan MT PN.
“Sampai masa kita akan umumkan siapa calon PAS bagi menggalas jawatan itu nanti. Dalam perlembagaan PN tidak pernah menyatakan pengerusi wajib dilantik di kalangan presiden parti-parti komponen.
“Cuma kalau Bersatu kata kena (lantik) presiden juga, tak apalah. Kita akan ketuai dengan dengan cara harmonilah berdasarkan persetujuan dan sokongan parti-parti yang ada,” katanya.
Jawatan pengerusi PN kosong sejak 1 Jan lalu susulan peletakkan jawatan Muhyiddin dan ia sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat MT PN dipanggil pada 29 Jan lalu.
Namun mesyuarat itu dibatalkan sebaliknya Muhyiddin mengundang ketua parti komponen utama gabungan itu iaitu PAS, MIPP dan Gerakan pada hari sama.
Bagaimanapun, Presiden PAS Hadi Awang tidak muncul dalam pertemuan itu. Sebelum pertemuan itu, tular satu surat yang didakwa dihantar Muhyiddin kepada presiden komponen PN antaranya ada persetujuan dari PAS dan Bersatu untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan perkara itu yang sekali gus menimbulkan polemik baharu.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pengerusi PN yang baharu terbabit tidak boleh dianggap sebagai jaminan kepada pemimpin berkenaan menjadi calon ‘poster boy’ atau perdana menteri PRU16 selain bayangan pengganti Hadi.
“Jawatan pengerusi PN bukan muktamad menjadi bayangan kepada dua perkara. Yang pertama, bukan bayangan calon perdana menteri atau ‘poster boy’. Kedua, bukan bayangan untuk mengambil alih jawatan presiden (PAS). Tidak semestinya begitu.
“Jawatan ini dalam konteks parti untuk memimpin gabungan supaya jentera diperkukuh dan diperkemaskan bagi menghadapi PRU16,” katanya.
Selain Hadi dan Tuan Ibrahim, nama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Moktar dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor turut disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin.
Bagaimanapun, Hadi menolak untuk dicalonkan atas faktor kesihatan.