3 jawatan tertinggi PPBM dijangka tiada pencabar

3 jawatan tertinggi PPBM dijangka tiada pencabar

Jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden dijangka tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan PPBM pada Jun ini.

(Dari kiri) Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, Pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir.
PETALING JAYA:
Jawatan tertinggi PPBM iaitu pengerusi, presiden dan timbalan presiden dijangka tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu pada Jun ini.

Setiausaha Agung PPBM, Marzuki Yahaya berkata perkara itu dipersetujui semua pimpinan PPBM seluruh negeri menerusi mesyuarat hari ini.

“Sampai hari ini kita tak ada satu keputusan, sebagai pimpinan parti baru memang kita minta pendirian semua kepimpinan bahagian dan negeri untuk beri sokongan penuh kepada pimpinan kita pengerusi (Dr Mahathir Mohamad), presiden (Muhyiddin Yassin) dan timbalan presiden (Mukhriz Mahathir).

“Hari ini saya dapat laporan memang semua negeri seluruh Malaysia beri sokongan kepada 3 jawatan utama supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama setiausaha parti negeri di ibu pejabat PPBM, hari ini.

Marzuki berkata persetujuan itu akan diangkat kepada jawatankuasa pemilihan parti (JPP) untuk diputuskan.

Pemilihan PPBM peringkat cawangan akan bermula 15 Feb hingga 28 Mac, manakala peringkat bahagian pada 18 April, sementara Perhimpunan Agung akan bermula 25-28 Jun.

Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata PPBM menggugurkan 50 keahlian daripada 3881,881 ahli yang berdaftar sehingga 31 Dis 2019.

Katanya, antara faktor pengguguran itu kerana mempunyai 2 keahlian parti dan mensabotaj parti ketika pilihan raya umum lalu.

“Parti hanya akan menerima keahlian terkini berdasarkan tarikh yang didaftarkan,” katanya sambil memaklumkan tiada nama besar yang digugurkan.

Minggu lalu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Syed Hamid Albar berkata, majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian parti itu.

Katanya, 39 daripada 189 ketua bahagian menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama PPBM, termasuk Mahathir (Langkawi); Muhyiddin (Pagoh); Mukhriz (Jerlun); Marzuki (Bagan); Setiausaha Kerja, Suhaimi Yahya (Batu); Ketua Penerangan, Radzi Jidin (Ketereh); Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Ketua PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun); Ketua PPBM Terengganu, Razali Idris (Marang) dan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (Tuaran).

Beliau berkata, 45 ketua bahagian Wanita dan 63 ketua bahagian Pemuda turut menang tanpa bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.