
Ketuanya Mohd Nazifuddin Najib berkata sistem lama itu tidak relevan dengan realiti politik semasa dan bercanggah prinsip demokrasi serta keterbukaan diperjuangkan Umno.

“Sebagai parti memperjuangkan demokrasi dan keterbukaan, langkah mengembalikan sistem lama kurang inklusif adalah satu langkah ke belakang,” katanya menurut Berita Harian.
Nazifuddin berkata sistem lama diubah bagi memastikan pemilihan kepimpinan tertinggi parti lebih adil, telus dan menyeluruh.
Tegasnya, hak memilih pemimpin Umno pusat perlu dikekalkan kepada ahli akar umbi seperti sekarang, bukan terhad kepada perwakilan dihantar ke Perhimpunan Agung Umno (PAU).
“Malah, cadangan memberikan semula hak mengundi kepada hanya 2,500 perwakilan yang menghadiri PAU menimbulkan kebimbangan besar terhadap isu politik wang.”
Pada 23 Jan lalu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin dalam hantaran di Facebook berkata parti itu sedang mempertimbang beberapa perkara termasuk kaedah pemilihan pucuk pimpinan.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian Umno tidak menjelaskannya secara lanjut.
Presiden Umno Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu dipetik berkata parti itu terbuka meneliti cadangan mengubah sistem pemilihannya termasuk kembali kepada kaedah lama membabitkan jawatan tertinggi peringkat pusat.
Kenyataannya itu menyusul laporan media berhubung cadangan supaya Umno kembali kepada sistem lama pemilihan parti iaitu terhad kepada perwakilan dipilih bukan lagi babit akar umbi yang diubah sedekad lalu.
Pada 2013, Umno memperkenalkan kaedah pemilihan membenarkan kira-kira 150,000 perwakilan mengundi berbanding hanya 3,000 orang dipilih ke perhimpunan agung parti itu.