
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, hakikat dua jawatan tertinggi dan tiga jawatan naib presiden tidak dipertandingkan menunjukkan kesediaan parti itu mengekalkan kestabilan dalaman.
Beliau menyifatkan keputusan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor menolak pencalonan jawatan naib presiden walaupun layak, amat mengejutkan.
“Saya rasa ia disebabkan arahan Dewan Ulama PAS beberapa minggu lalu – jangan jejas keadaan semasa. Saya rasa Sanusi memahaminya, sebab itu beliau menolak pencalonan.
“Mereka tidak mahu jadi seperti Bersatu, yang sedang bergolak. Saya rasa PAS sangat berpuas hati dengan penyokong terasnya, iaitu orang Melayu. Dengan mengekalkan status quo, PAS menghantar isyarat mereka berpuas hati dengan keadaan sekarang,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, ini seterusnya memberi isyarat PAS sangat stabil dan kuat, serta boleh bersaing dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Tetapi, katanya, mengekalkan Hadi dalam pucuk pimpinan akan menjejaskan peluang parti Islam itu berkembang melangkaui pangkalan sokongan tradisionalnya.
“Orang bukan Melayu sangat berwaspada terhadap PAS, khasnya disebabkan pandangan ekstrem disebarkan Hadi. Mengekalkan Hadi dan lima pemimpin teratas akan menjauhkan sokongan bukan Melayu yang sangat diperlukan PAS sekarang.”
Hadi dilantik presiden PAS sejak 2003. Terdapat khabar angin mengatakan beliau mahu berundur atas faktor kesihatan, tetapi Ahli Parlimen Marang selama tujuh penggal itu menafikannya dengan berkata: “Saya mahu mati semasa masih memegang jawatan berkenaan”.
Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding menjelang Muktamar PAS ke-71, manakala tiga naib presidennya – Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Amar Abdullah – turut mengekalkan jawatan mereka tanpa bertanding.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tiada pertandingan untuk jawatan tertinggi mencerminkan etos Islam parti itu dalam kepimpinan.
“Menurut prinsip Islam, seseorang yang menawarkan diri atau berebut jawatan boleh dianggap melanggar ajaran Islam dan orang itu wajar diketepikan. Sebab itu dalam PAS, mereka mengamalkan prinsip taat setia kepada pemimpin atau wala.
“Ini sebabnya perebutan kuasa tidak berlaku dalam PAS, kecuali apabila berlaku percanggahan pendapat seperti pada 2015 yang membawa kepada pembentukan Amanah,” katanya sambil menambah perubahan kepimpinan dalam PAS hanya akan berlaku akibat faktor usia, kesihatan atau kematian.
Mazlan meramalkan PAS akan terus mengekalkan haluan politik semasa di bawah kepimpinan Hadi, dengan naratif Melayu-Islam menjadi tumpuan dalam strategi politiknya.
“Pengaruhnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu dikekalkan melalui agenda ini, dan saya menjangkakan PAS akan terus berkuasa di empat negeri ini. Usaha memperluaskan pengaruh PN melangkaui pangkalan tradisionalnya mungkin dilakukan Bersatu.”
Tanpa sebarang pembaharuan dalam kepimpinan, katanya, PAS akan kekal terperangkap dalam acuan lama. Walaupun ini mungkin membolehkan parti itu mengekalkan kuasanya ke atas empat negeri di utara dan pantai timur, usaha menawan Putrajaya akan menjadi sukar.
“Keputusan pilihan raya akan tetap menjadi status quo,” katanya merujuk keputusan PRU 2022 yang menyaksikan Parlimen tergantung dan kerajaan perpaduan ditubuhkan.