Dah jadi ‘budaya’ tak pertanding 2 jawatan tertinggi parti, kata Shahril

Dah jadi ‘budaya’ tak pertanding 2 jawatan tertinggi parti, kata Shahril

Shahril Hamdan tertanya-tanya sama ada 'budaya' ini akan memudarkan semangat anak muda untuk terlibat dengan politik.

Dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan membincangkan keengganan parti-parti politik di Malaysia mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keengganan parti mempertandingkan jawatan tertinggi sudah sebati dengan politik Malaysia, kata bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, memetik Bersatu sebagai contoh.

Tahun lepas, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan presiden manakala ketua pembangkang Hamzah Zainudin dinamakan sebagai timbalannya selepas tiada nama lain bertanding bagi jawatan-jawatan tersebut apabila penamaan calon ditutup.

Sebelum pemilihan, Muhyiddin juga ‘membocorkan’ senarai calon Bersatu yang menyaksikan bekas menteri Ronald Kiandee, Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu terpilih sebagai naib presiden, menepati ‘formula’ kepimpinan.

“Ini dah jadi macam budaya di Malaysia. Bersatu pun takda tanding (jawatan tertinggi),” kata Shahril dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2022, yang diadakan pada 2023, parti itu meluluskan usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan.

Shahril mengulas kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim Shamsul Iskandar Akin baru-baru ini bahawa perbincangan sedang dijalankan berhubung langkah tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi PKR.

Shamsul berkata, aturan ini adalah untuk memastikan Anwar dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kekal presiden dan timbalan presiden.

Hos bersama Shahril, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, ketakutan Umno untuk mempertandingkan jawatan tertinggi parti datangnya daripada pengalaman lalu yang membawa kepada perpecahan dalam parti.

Beliau memetik dua kem yang terbentuk apabila puak-puak bersekutu dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad bertanding jawatan kepimpinan pada akhir 1980an.

Shahril menzahirkan persoalan sama ada langkah tidak mempertandingkan jawatan akan memudarkan semangat golongan muda untuk terlibat dengan politik.

Khairy berkata, walaupun golongan minoriti yang terlibat dalam politik mungkin menuntut lapangan sama rata, kebanyakan anak muda Malaysia tidak peduli dengan dinamik parti.

“Jujurnya, sebahagian besar anak muda tak kisah apa terjadi dalam parti. Mereka yang minat dengan politik akan gesa pertandingan adil, tetapi kebanyakannya tak beri perhatian pun pada perkara kecil,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.