
Khaled berkata cadangan untuk mengubah sistem pemilihan itu dikemukakan pada persidangan tahun lalu oleh beberapa bahagian Umno.
“Atas sebab itu, parti kini sedang mengumpul maklum balas dari semua bahagian seluruh negara melalui Biro Keahlian dan Perlembagaan Umno,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Umno Langkawi Mohd Nazifuddin Najib semalam yang menolak usaha mengembalikan sistem pemilihan lama yang dianggap tidak relevan dengan realiti politik semasa, malah bercanggah prinsip demokrasi dan keterbukaan diperjuangkan parti.
Pada 23 Jan lalu, Khaled dalam hantaran di Facebook berkata parti itu sedang mempertimbang beberapa perkara termasuk kaedah pemilihan pucuk pimpinan.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian Umno tidak menjelaskannya secara lanjut.
Presiden Umno Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu dipetik berkata parti itu terbuka meneliti cadangan mengubah sistem pemilihannya termasuk kembali kepada kaedah lama membabitkan jawatan tertinggi peringkat pusat.
Kenyataannya itu menyusul laporan media berhubung cadangan supaya Umno kembali kepada sistem lama pemilihan parti iaitu terhad kepada perwakilan dipilih bukan lagi babit akar umbi yang diubah sedekad lalu.
Pada 2013, Umno memperkenalkan kaedah pemilihan membenarkan kira-kira 150,000 perwakilan mengundi berbanding hanya 3,000 orang dipilih ke perhimpunan agung parti itu.