
Dalam hantaran di X, Zaid Ibrahim berkata republik itu melaksanakan proses pemilihan pelbagai peringkat untuk melantik ketua pesuruhjaya.
Beliau berkata, presiden Indonesia melantik panel pemilihan terdiri daripada anggota masyarakat yang berwibawa dan sudah lama berkhidmat, termasuk daripada pasukan polis.
Panel itu kemudian menjemput pemohon, termasuk orang awam, untuk menyerahkan nama dan resume mereka.
Selepas temuduga secara terperinci dengan pemohon, panel akan menyerahkan senarai calon kepada presiden yang kemudian perlu mendapatkan persetujuan Parlimen untuk mencalonkan ketua pesuruhjaya agensi antirasuahnya.
“Adakah perdana menteri kita cenderung untuk mengambil pendekatan ini?”
Gesaan Zaid supaya negara mencontohi Indonesia susulan kritikan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang mendakwa kekurangan maklumat menghalang siasatan skandal perlombongan di Sabah.
Walaupun pengkritik berkata, video dibocorkan pemberi maklumat yang dikatakan memberikan maklumat mencukupi kepada agensi antirasuah itu menggunakan pelbagai langkah bawah undang-undang bagi memudahkan siasatannya, Azam berkata klip berkenaan tidak boleh dipercayai kerana ia banyak disunting dan tidak akan diterima di mahkamah.
Pada 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mendedahkan kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.
Azam sebelum ini berkata, beliau terbuka dengan idea pelantikan jawatan tertinggi agensi antirasuah itu bawah bidang kuasa Parlimen.