
Anwar berkata, beliau menghormati aspek demokrasi dalam parti dan tidak akan mencampuri urusan itu.
“Biar mereka putuskan…saya tidak campur. Biar demokrasi (tentukan)…yang bertanding, tak bertanding (biar) parti putuskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Kuala Selangor, menurut Berita Harian.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Anwar Shamsul Iskandar Akin dilaporkan berkata rundingan sedang diadakan supaya jawatan presiden PKR dan timbalannya tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti Mei ini.
Bekas naib ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, mengkritik cadangan itu dengan berkata, pertandingan terbuka untuk jawatan tertinggi perlu bagi menegakkan demokrasi.
Shamsul bagaimanapun tidak bersetuju dan berkata, rundingan menjelang pemilihan parti juga sebahagian daripada proses demokrasi.
Veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, turut mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi parti kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, sebelum ini dilaporkan berkata parti memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) diadakan pada 24 Mei ini.