Pengetua pertahan penekanan agama di sebalik kritikan terhadap ritual ‘berlebihan’

Pengetua pertahan penekanan agama di sebalik kritikan terhadap ritual ‘berlebihan’

Pengetua berkata segala ketetapan dapat persetujuan ibu bapa.

Pengkritik berkata pengajaran agama di sekolah berlebihan sehingga pembelajaran mata pelajaran lain diabaikan.
PETALING JAYA:
Pengetua sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor menolak aduan bahawa sekolahnya terlalu mementingkan amalan-amalan agama sehingga mengganggu pelajaran.

Beliau yang enggan dinamakan ketika dihubungi memberitahu segala ketetapan program yang dimasukkan dalam rutin harian murid sudah mendapat persetujuan ibu bapa.

Katanya, program itu sudah lama dilaksanakan dan pihak sekolah belum pernah menerima aduan mengenainya.

“Aduan mesti datang direct (terus) kepada saya. Mungkin aduan mereka itu menggambarkan situasi yang tidak benar,” katanya kepada FMT.

Semalam, FMT melaporkan sekumpulan ibu bapa dan ahli keluarga murid yang belajar di sekolah berasrama kerajaan bereputasi mempersoalkan apa yang dilihat seperti terlalu mementingkan amalan-amalan agama.

Mereka berkata aktiviti-aktiviti tersebut mengambil terlalu banyak masa dan tenaga pelajar, menyebabkan mereka menjadi letih dan lesu pada kelas biasa dan waktu ulangkaji.

Sharifah Munirah Alatas.

Mereka berkata pelajar diminta menghadiri sesi wajib solat berjemaah, serta ritual tidak wajib lain, di mana antaranya mereka perlu bangun seawal 3 pagi.

Isu ini menyorot kritikan terhadap bau keagamaan dan pelambangannya di sekolah-sekolah kerajaan menyebabkan orang bukan Islam kurang berminat, di sebalik perdebatan terbuka yang berterusan mengenai polarisasi dalam sistem pendidikan.

Seorang ahli akademik menyeru tumpuan lebih tajam kepada pengajian sains sosial dan kemanusiaan disamping sains dan matematik.

Sharifah Munirah Alatas yang mengajar di UKM berkata itu yang diperlukan oleh murid-murid untuk membentuk pandangan dunia Islam yang lengkap.

“Kehidupan cara Islam dan pandangan Islam (tasawwur Islam) tidak bermakna belajar menghafal dengan baik, bagaimana membaca Al-Quran, atau mempelajari cara menyebut ayat-ayat dalam bahasa Arab dengan betul.

“Cara hidup Islam adalah pendekatan holistik terhadap kehidupan. Ini bermakna belajar mata pelajaran lain yang akan menjadikan manusia yang lengkap. Manusia yang lengkap ini mesti tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap komplikasi dalam masyarakat,” katanya kepada FMT.

Noor Azimah Abdul Rahim.

Sharifah tidak menentang pengajaran agama di sekolah, menjelaskan ia jadi masalah apabila menjadi berlebihan sehingga pembelajaran mata pelajaran lain diabaikan.

Beliau bertegas pemupukan nilai-nilai Islam dalam diri anak-anak sepatutnya dipimpin oleh ibu bapa, dan bukannya guru.

Sharifah berkata guru juga harus memastikan tiada pelajar Islam dibuli oleh rakan-rakan dalam perkara-perkara remah seperti tidak memakai tudung atau kerana tidak mengikut ritual tertentu yang bukan berasaskan Islam.

“Tekanan rakan sebaya tidak sihat dan melemahkan semangat, terutama apabila ia berkaitan dengan demonstrasi keagamaan, bukan pertumbuhan kerohanian dan pemahaman,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim menggesa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Hasnita Hashim untuk membasmi pengaruh agama di MRSM dengan segera.

Beliau berkata sekolah harus terus tumpu kepada sains, inovasi dan penyelesaian masalah, sambil menambah ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama jika mereka mahu anak-anak mendapat pendidikan agama.

“Masalahnya apabila ia dimasukkan (dalam pendidikan), sukar untuk dikeluarkan. Masalah lagi, apabila seseorang membantah, dia dilihat sebagai anti-Islam, walaupun orang itu betul, ” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.