Kes murid maut jatuh lubang kumbahan di sekolah diklasifikasi NFA

Kes murid maut jatuh lubang kumbahan di sekolah diklasifikasi NFA

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata kejadian itu satu kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata pihaknya berpuas hati dengan hasil siasatan dan bahawa kes itu adalah satu kemalangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kes seorang murid Tahun 3 yang maut selepas jatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai pada September lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) setakat ini, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad.

Alzafny berkata siasatan kes itu sudah lengkap dan siasatan terperinci mendapati insiden tersebut merupakan kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak dikesan.

“Sebelum ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan kemudian diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum ia dikategorikan sebagai NFA.

“Daripada siasatan, kami berpuas hati bahawa kes itu adalah satu kemalangan,” katanya yang dipetik Bernama.

Dalam kejadian pada 27 Sept lalu, Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolahnya ketika berlangsungnya program kejohanan olahraga.

Selepas dikeluarkan, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.