
Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Malaysia (UNI-MLC) dan Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLR Coalition) “rasa jengkel dengan cubaan terselindung untuk menggambarkan kenaikan gaji minimum memberi manfaat kepada pekerja asing dan bukan pada pekerja tempatan, mencipta kekhuatiran dan ketidakpuasan hati.”
Terdahulu, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan menganggarkan kenaikan gaji minimum akan menambah RM2.5 bilion kiriman wang setahun yang dikirim pulang pekerja-pekerja asing.
Hal itu, katanya, akan menambah 7% ke atas anggaran RM34 bilion setahun yang dikirim pulang pekerja asing dan memberi impak pada kekuatan ringgit.
Shamsuddin juga berkata majikan terpaksa bergantung pada pekerja asing yang lebih mahal kerana kekurangan tenaga kerja di sektor-sektor tertentu.
Tiga kumpulan itu bagaimanapun berhujah majikan yang patut dipersalahkan kerana meminta 30% daripada tenaga kerja terdiri daripada pekerja asing.
“Kalau tiada permintaan tiadalah bekalan.”
Mereka juga membidas Shamsuddin kerana mengambil pengurangan tenaga kerja di industri media sebagai contoh dalam hujahnya terhadap pelaksanaan gaji minimum RM1,200 di 57 bandar-bandar utama tahun depan.
Gaji minimum bagi kawasan-kawasan luar bandar dan pekan-pekan kecil masih pada kadar rM1,100.
Shamsuddin berkata ia menyebabkan “kekeliruan dan kebimbangan” dalam kalangan majikan dan pekerja kerana sempadan 57 bandar-bandar itu tidak jelas.
Tiga kumpulan itu bagaimanapun menuduh MEF cuba menakut-menakutkan, mengatakan tiada seorang pun yang diberhentikan itu bergaji minimum.
“Pengurangan tenaga kerja di industri media tiada kaitan dengan gaji minimum tetapi akibat gagal menyesuaikan dengan teknologi dan perubahan lanskap.”