
Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata kos tambahan itu perlu dikongsi bersama pekerja atau disokong kerajaan kerana ketika ini majikan sudah berdepan dengan kos operasi yang semakin tinggi.
“Jika semuanya dibebankan kepada majikan, ia akan meningkatkan kos perniagaan dan menjejaskan daya saing, terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya kepada FMT.
Shamsuddin berkata, MEF tidak menolak cadangan itu kerana pekerja asing turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan wajar dilindungi, namun mekanisme pelaksanaannya perlu berkesan serta tidak membebankan pihak majikan.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut menggesa pekerja asing dan tidak formal dimasukkan dalam skim perlindungan sosial 24 jam.
Beliau menyifatkan pelan itu sebagai langkah ke arah yang betul, namun menegaskan tiada golongan patut dipinggirkan dan manfaatnya perlu mudah alih merentas sempadan bagi pekerja asing.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Halim Mansor pula berpendapat pekerja asing juga perlu menerima manfaat perlindungan secara adil mengikut undang-undang sedia ada.
“Majikan tidak harus diberi pilihan kerana pekerja asing mesti dilindungi oleh akta (sedia ada) yang mewajibkan majikan bertanggungjawab ke atas tenaga kerja di bawah satu bumbung,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) akan dijadikan rangka kerja undang-undang baharu bagi memastikan pekerja dilindungi 24 jam bukan hanya ketika waktu pejabat.
Bulan lalu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sedang dirangka untuk memberi perlindungan sosial 24 jam melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.