
Mamdani, 34, menewaskan calon bebas dan bekas gabenor New York Andrew Cuomo serta calon Republikan Curtis Sliwa dalam kemenangan bersejarah bagi sayap progresif Parti Demokrat.
Mengucapkan tahniah kepada Mamdani atas kemenangannya, Cuomo berkata pada majlis malam pilihan raya bahawa ‘malam ini milik mereka dan apabila mereka mula beralih kepada kerajaan, kita semua akan membantu sedaya mungkin’.
“Kita akan bersatu untuk New York City, kerana kita mencintai New York City dan dari lubuk hati saya, saya mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang daripada anda,” katanya kepada penyokong.
Mamdani dijangka menyampaikan ucapan di Brooklyn lewat malam Selasa.
Tokoh sosialis demokrat itu berkempen berasaskan isu kemampuan hidup dan perkhidmatan sosial, dengan janji melaksanakan perkhidmatan bas percuma, penjagaan kanak-kanak sejagat, kedai runcit kendalian bandar, rumah dengan sewaan stabil serta rancangan menaikkan gaji minimum kepada USD30 sejam menjelang 2030 berbanding kadar semasa USD16.50 sejam.
Beliau berkata, semua inisiatif itu akan dibiayai melalui kenaikan kadar cukai korporat kepada 11.5%, sama seperti di negeri jiran, New Jersey, serta cukai pendapatan 2% terhadap individu berpendapatan lebih USD1 juta setahun.
Mamdani turut berikrar akan mengarahkan Jabatan Polis New York (NYPD) untuk menahan Benjamin Netanyahu sekiranya perdana Menteri Israel itu menjejakkan kaki ke bandar itu, merujuk waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Netanyahu berhubung jenayah perang di Gaza.
Majlis Hubungan Amerika-Islam menyifatkan kemenangan Mamdani sebagai ‘titik perubahan bersejarah’ bagi masyarakat Islam di Amerika Syarikat.
“Keupayaan Datuk Bandar terpilih Mamdani untuk menang sambil secara terbuka mempertahan hak asasi rakyat Palestin dan menghadapi serangan kebencian anti-Islam menandakan penolakan bersejarah terhadap Islamofobia dan rasisme anti-Palestin dalam politik,” menurutnya dalam kenyataan.
“Kami memuji pelajar kolej dan golongan muda di New York City yang hanya setahun selepas difitnah dan dianiaya kerana memprotes genosid di Gaza, membantu memilih seorang datuk bandar yang lantang menentang pembunuhan itu dan menyokong hak untuk membantah secara aman.”