
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyarankan laporan dibuat ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika terdapat ketidakpatuhan pada perintah gaji minimum.
“Pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru Pasti sama seperti pekerja sektor swasta yang lain,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
“Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap perintah gaji minimum, saya sarankan agar perkara ini dilaporkan kepada pihak JTK untuk siasatan.”
Pada 11 Ogos lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata memberi elaun antara RM600 hingga RM700 kepada lebih lebih 9,500 guru di pra-sekolah kendalian PAS adalah ‘tidak adil’, dan alasan mereka sukarelawan adalah tidak boleh diterima.
Ini kerana perkara itu bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700, dan mengelak kewajipan lain seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Pasti adalah pra-sekolah Islam yang ditubuhkan Pemuda PAS, pada akhir 1980-an untuk menyediakan alternatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan agama.
Menurut Nik Nazmi, ada 2,497 Pasti di seluruh negara dengan 9,539 guru dan 125,065 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun setakat 2024.
Syahir Sulaiman (PN-Bachok) mempertahankan pra-sekolah itu dengan mengatakan guru hanya bekerja beberapa jam sehari.
Katanya lagi, Pasti tidak bergantung pada dana kerajaan, berbeza dengan premis dikendalikan Kementerian Pendidikan, dan beroperasi hasil sumbangan awam dan sokongan bahagian PAS.
Nik Nazmi bagaimanapun mengingatkan bahawa guru-guru itu adalah pekerja dari segi undang-undang, maka mesti dilayan sebagai pekerja, sama ada sepenuh masa atau sambilan.
Beliau menegaskan Pasti mesti patuh undang-undang jika berdaftar dan memenuhi syarat.
Keesokannya, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) berkata tidak adil membandingkan tugas guru di Pasti dengan pekerja di sektor swasta, kerana menurutnya mereka secara sukarela menawarkan diri mengajar walaupun dimaklumkan lebih awal bayaran elaun diberikan adalah rendah.