Cadangan luas skim perlindungan sosial 24 jam pekerja asing wajar diteliti

Cadangan luas skim perlindungan sosial 24 jam pekerja asing wajar diteliti

Ahli ekonomi berkata cadangan memasukkan pekerja asing dalam skim perlindungan sosial 24 jam wajar dipertimbang namun pelaksanaan mesti teliti agar tidak jejas kewangan negara.

pekerja asing
Ahli ekonomi berkata perlindungan sosial 24 jam untuk pekerja asing bukan hanya soal kebajikan tetapi strategi ekonomi jangka panjang yang boleh kurangkan kos sosial dan kukuh daya saing Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan supaya pekerja asing turut dilindungi skim perlindungan sosial 24 jam wajar dipertimbangkan, namun perlu dirangka secara teliti bagi mengelak risiko fiskal dan beban tambahan kepada industri dan kerajaan, kata ahli ekonomi.

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya berkata, walaupun pekerja asing menyumbang besar kepada ekonomi negara, peluasan skim perlindungan sosial mesti berlandaskan model pembiayaan yang mampan.

goh lim thye
Goh Lim Thye.

Beliau berpandangan, skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berasaskan caruman bersama oleh majikan atau pekerja, bukan ditanggung sepenuhnya kerajaan, justeru isu fiskal negara dijangka bukan halangan.

Namun, katanya, data menunjukkan Perkeso sudah menanggung kos besar merujuk pada data dua tahun lalu, apabila lebih 82,000 kes kemalangan dilaporkan dengan bayaran pampasan melebihi RM1.4 bilion.

“Jika perlindungan diperluas kepada semua pekerja asing, kemungkinan tuntutan tambahan boleh memberi implikasi terhadap daya tahan dana (Perkeso).

“Oleh itu, manfaat kepada produktiviti mesti diimbangi dengan reka bentuk skim yang mampan, misalnya melalui kadar caruman sesuai, pengurusan risiko berasaskan sektor, serta pemantauan berterusan terhadap trend tuntutan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang mencadangkan pekerja asing dan tidak formal turut dimasukkan dalam skim perlindungan sosial 24 jam.

Santiago menyifatkan pelan itu sebagai langkah tepat, sambil menegaskan tiada golongan patut dipinggirkan dan manfaatnya perlu merentas sempadan bagi pekerja asing.

Kenyataan itu menyusul pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim Isnin lalu, Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) akan dijadikan rangka kerja undang-undang baharu bagi memastikan pekerja dilindungi 24 jam bukan hanya ketika waktu pejabat.

Bulan lalu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sedang dirangka untuk memberi perlindungan sosial 24 jam melalui Perkeso.

Pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Dalam pada itu, Goh mencadangkan model caruman yang adil iaitu berdasarkan kadar gaji dan tahap risiko industri, bukan kadar rata kepada semua sektor.

“Kaedah ini boleh mengelakkan beban berat kepada sektor tertentu, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya, sambil mencadangkan tempoh pelaksanaan boleh dibuat berperingkat bermula dengan sektor berisiko tinggi seperti pembinaan dan pembuatan.

Katanya, sebagai rujukan Singapura sudah lama mewajibkan majikan menyediakan perlindungan asas kepada pekerja asing dengan premium rendah.

Goh berkata, perlindungan sosial 24 jam boleh mengurangkan kadar keluar-masuk pekerja, meningkatkan keyakinan mereka dan memastikan tenaga kerja lebih stabil serta berkemahiran.

“Namun, jika skim tidak direka dengan baik, ia boleh melemahkan dana sedia ada. Jadi, caruman, pengurusan risiko dan pemantauan tuntutan perlu seimbang,” katanya.

Sementara itu, Abu Sofian Yaacob dari Kolej Universiti i-CATS menekankan aspek kos fiskal yang mungkin mencecah bilion ringgit setiap tahun jika kerajaan perlu menampung sebahagian caruman untuk jutaan pekerja asing di Malaysia.

Abu Sofian Yaacob
Abu Sofian Yaacob.

Katanya, bagi mengimbangi kos, kerajaan boleh mempertimbangkan sistem kongsi kos antara majikan dan pekerja asing, potongan gaji minimum khusus untuk caruman, atau mewujudkan dana berpusat mengikut sektor seperti perladangan dan pembinaan.

Beliau juga mencadangkan, insentif cukai kepada syarikat yang patuh supaya tidak menjejaskan daya saing industri.

“Jika mekanisme ini dilaksanakan, industri sebenarnya akan mendapat manfaat kerana tenaga kerja asing lebih stabil dan produktif,” katanya.

Abu Sofian berkata, jika dilaksanakan penguatkuasaan perlu tegas, dengan menjadikan caruman Perkeso syarat wajib permit kerja dan mengintegrasikan data dengan sistem imigresen.

“Perlindungan sosial 24 jam untuk pekerja asing bukan hanya soal kebajikan, tetapi strategi ekonomi jangka panjang yang boleh mengurangkan kos sosial dan mengukuhkan daya saing Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.