Dasar Gaji Progresif berkesan jika wajib

Dasar Gaji Progresif berkesan jika wajib

Pertubuhan Pertolongan Wanita berkata Dasar Gaji Progresif boleh bantu merapatkan jurang ketidaksamaan gaji jika dikuatkuasakan sewajarnya.

cleaner pekerja pembersihan janitor
Dasar Gaji Progresif boleh membantu bawa perubahan sebenar kepada golongan yang bekerja dalam perniagaan kecil atau kontrak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dasar Gaji Progresif (DGP) boleh membantu rakyat berpendapatan rendah memperoleh gaji lebih baik jika ia diwajibkan, kata seorang aktivis dan bekas Ahli Parlimen.

Pengurus Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Gandipan Gopalan, berkata DGP adalah langkah dialu-alukan bagi memastikan pekerja menerima bayaran lebih adil, namun ia yang bersifat sukarela dan penyertaan terhad melemahkan impaknya.

Beliau berkata, DGP boleh membantu merapatkan jurang gaji jika ia diwajibkan dan dikuatkuasakan sewajarnya.

“Jika dilaksanakan dengan baik dan dijadikan mandatori, ia boleh membawa perubahan sebenar kepada ibu tunggal dan wanita yang bekerja dalam perniagaan kecil atau pekerja kontrak di premis kerajaan,” katanya kepada FMT, memaklumkan DGP diperkenalkan sebagai pelengkap kepada gaji minimum.

Diperkenalkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, DGP menghubungkan kenaikan gaji dengan produktiviti dan pembangunan kemahiran.

Majikan yang menyertainya secara sukarela akan menerima insentif Kerajaan berdasarkan kadar kenaikan gaji pekerja. Selain itu, syarat latihan juga perlu dipenuhi bagi meningkatkan kemahiran dan produktiviti.

Kementerian Sumber Manusia berkata, DGP dirangka untuk menangani kebimbangan utama majikan mengenai kenaikan gaji dan peningkatan produktiviti.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata DGP adalah pengiktirafan bahawa pasaran buruh tidak sentiasa memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Sebab itu ia perlu diwajibkan, bukan kekal sukarela,” katanya yang sering bersuara mengenai kadar gaji adil.

Beliau menegaskan, model sama di Korea Selatan dan Singapura menunjukkan pertumbuhan gaji hanya meningkat selepas penyertaan diwajibkan.

“DGP mengiktiraf bahawa sistem itu sendiri memerlukan mekanisme sokongan untuk mengangkat pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.