
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata kadar gaji minimum itu akan dibahagikan mengikut kategori had pelayaran kapal supaya pecahannya dapat diselaraskan dengan adil.
“Selain kadar gaji minimum, kita juga berjaya sepakati perkara berhubung tempoh perkhidmatan laut untuk latihan kadet enjin. Ia akan dikurangkan dari 12 bulan ke enam bulan.
“Penyesuaian ini dibuat selaras ketetapan Konvensyen Antarabangsa STCW tanpa menjejaskan kompetensi pelaut.
“Dua perkara ini menandakan kemajuan penting untuk kebajikan pelaut. Ini berkat komitmen berterusan, sesi libat urus dan kerjasama strategik pihak berkepentingan maritim, khususnya di bawah
kementerian melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM),” katanya semasa berucap dalam dalam Karnival Pelaut dan Rumah Api 2025 di Marina Putrajaya.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata usaha dilaksanakan itu bertujuan mempercepatkan laluan kerjaya pelaut muda selain meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat global.
“Ini juga bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab latihan maritim bertaraf antarabangsa,” katanya.
Katanya, kedua-dua perkara itu akan dihebahkan secara menyeluruh dan spesifik melalui Notis Perkapalan Malaysia oleh JLM pada suku pertama 2026.
“Notis tersebut akan lengkap dengan pemberitahuan bagi pelaksanaan serta penguatkuasaannya yang lebih terperinci,” katanya.