Polis buat semakan terhadap penganjur perhimpunan bekas ahli PKM

Polis buat semakan terhadap penganjur perhimpunan bekas ahli PKM

Polis Selangor berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung perhimpunan tersebut.

Kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM di Kajang. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis sedang membuat semakan terhadap beberapa individu termasuk penganjur program berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung perhimpunan tersebut.

“Tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini. Bagaimanapun kita akan membuat semakan terhadap individu-individu yang terlibat termasuk penganjur,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pagi semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM itu.

Beliau berkata perkara dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Semalam, menurut laporan media kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM, antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Dis 1989.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.