
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang laporan diterima pihaknya berkaitan penemuan mayat di sebuah rumah di Petaling Jaya seperti yang dinyatakan dalam laporan tular itu.
“Pihak polis menegaskan bahawa menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan.
“Penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu yang mengganggu orang lain juga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.”
Susulan itu, Hussein mengingatkan masyarakat agar hanya merujuk sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat.
“Kerjasama orang ramai dalam mengekang penyebaran berita tidak sahih amat dihargai bagi memastikan ketenteraman serta kelancaran proses siasatan,” katanya.
Pada 9 April lepas, Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kenderaan e-panggilan.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari sama.