5 polis dalang utama sindiket curi kabel ditahan

5 polis dalang utama sindiket curi kabel ditahan

Dua Sarjan dan tiga Koperal itu dipercayai bekal maklumat kepada sindiket yang aktif sejak setahun lepas.

handcuff
Lima anggota polis bertugas di IPD di Kuala Lumpur dan Selangor ditahan pada 22 Mei di Cheras dan Kajang, berhubung kes curi kabel. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Lima anggota polis, yang dipercayai menjadi dalang bekal maklumat, ditahan bersama 11 individu lain minggu lepas berhubung kegiatan sindiket curi kabel yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, kelima-lima anggota bertugas di IPD di Kuala Lumpur dan Selangor itu direman hingga hari ini selepas ditahan dalam tangkapan susulan pada 22 Mei di Cheras dan Kajang

Dua anggota polis terlibat berpangkat Sarjan, manakala tiga lagi berpangkat Koperal, tambahnya.

“Selain lima penjawat awam ini, sindiket tersebut turut mendapat ‘kerjasama’ daripada orang dalam, iaitu masing-masing seorang pegawai teknikal dan seorang pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh Telekom Malaysia (TM).

“Kumpulan sindiket ini mendapat tunjuk ajar daripada dua kakitangan berkenaan bagi memotong kabel dan mengelakkan siren amaran daripada berbunyi,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Hussein, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lepas, dikendalikan oleh dua perancang utama yang masing-masing mempunyai 36 dan 29 rekod kes jenayah termasuk kes berkaitan dadah.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai terlibat dalam lebih 23 kes kecurian.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu melakukan 23 transaksi penjualan kabel curi di beberapa kedai barang lusuh sekitar Semenyih, dengan hasil jualan dianggarkan mencecah RM682,183.

Dalam pada itu, Hussein mendedahkan sebanyak 208 kes kecurian kabel dicatatkan di Kuala Lumpur dan Selangor dari Januari hingga April tahun ini.

Kes kecurian membabitkan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.