Polis siasat portal berita dakwa penemuan mayat Pamela Ling

Polis siasat portal berita dakwa penemuan mayat Pamela Ling

Kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kata polis Selangor.

pamela ling
Pada 9 April, Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta e-panggilan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat sebuah portal berita dalam talian yang disyaki menyiarkan laporan mendakwa mayat Pamela Ling ditemukan di sebuah rumah di Petaling Jaya, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita akan panggil pihak yang terbabit untuk dirakam keterangan,” katanya, lapor Bernama.

Semalam dilaporkan polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan penemuan mayat seperti yang dinyatakan dalam laporan bertajuk ‘Police Interview Pamela Ling’s Children and Family Friend in Death Investigation’.

Menyatakan bahawa laporan itu palsu, Hussein menegaskan tindakan menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pada 9 April, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta e-panggilan.

Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.