
Diluluskan Sept lalu, pindaan ke atas undang-undang 2002 itu mewujudkan panel yang akan memandu perjalanan badan antirasuah, Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), bermakna agensi itu akan diawasi oleh sebuah jawatankuasa dan tidak lagi boleh mengintip suspek dengan bebas.
Kebimbangan mengenai rang undang-undang yang bakal mengekang KPK telah mencetuskan protes di seluruh negara selama dua bulan lalu, di mana berakhir dengan lima kematian dan sejumlah orang cedera.
Tidak lama selepas rang undang-undang itu diluluskan, Jokowi berkata beliau akan mempertimbangkan untuk membatalkan pindaan yang dibawa itu, dengan mengeluarkan peraturan presiden sebagai pengganti undang-undang.
Bagaimanapun hari ini Jokowi memberitahu pemberita beliau akan meneruskan undang-undang itu, dengan memilih anggota jawatankuasa dan membiarkan mahkamah perlembagaan membuat keputusan mengenai semakan kehakiman yang difailkan oleh pelajar dengan harapan rang undang-undang itu digugurkan.
“Sementara proses semakan kehakiman sedang berjalan, jangan biarkan ada keputusan undang-undang yang kompleks,” katanya pada sidang media yang disiarkan menerusi televisyen.
Jokowi berkata beliau sedang memilih anggota jawatankuasa pengawasan KPK, di mana ia akan memulakan tugasnya bulan depan.
“Kami akan memilih mereka yang mempunyai kredibiliti terbaik,” kata beliau.
Mahfud MD, menteri keamanan Indonesia, juga mengatakan dalam satu wawancara dengan stesen TV Kompas bahawa ia bermakna presiden tidak akan mengeluarkan peraturan “kerana telah memasuki proses semakan kehakiman”.
Pengkritik rang undang-undang baru ini juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai barisan lembaga pesuruhjaya baru KPK.
Firli Bahuri, seorang ketua inspektor polis, akan mengangkat sumpah sebagai ketua KPK bulan depan. Beliau didakwa melakukan pelanggaran etika semasa bersama KPK sebelum ini, tetapi telah dinafikannya.
KPK telah mendakwa ratusan ahli politik, pegawai dan ahli perniagaan sejak pembentukannya pada 2002, menjadi salah satu agensi paling dihormati di Indonesia.
Adnan Topan Husodo, penyelaras Indonesia Corruption Watch, menuduh Jokowi telah memungkiri janji untuk menyokong perjuangan menentang rasuah.
“Ia telah menghentikan semua aspek mengenai pembasmian rasuah, dan lebih banyak mengenai politik,” katanya.