GRS laksana reformasi 51 undang-undang, kata Armizan

GRS laksana reformasi 51 undang-undang, kata Armizan

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata pembaharuan undang-undang dan institusi akan diteruskan untuk perkukuh tadbir urus serta memajukan Sabah.

hajiji
Pentadbiran Hajiji Noor menubuhkan Majlis Penasihat Reformasi Undang-undang Sabah sebagai badan bebas memberi pandangan tambah baik perundangan negeri itu.
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melaksanakan 51 pembaharuan undang-undang sejak 2021 sekali gus membuktikan komitmennya terhadap agenda reformasi yang menyeluruh.

Timbalan Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu membuktikan parti bukan sekadar berjanji tetapi mengambil tindakan nyata untuk memperkukuh tadbir urus serta membina asas perundangan lebih kukuh di Sabah.

Beliau menjelaskan, antara enakmen penting digubal ialah Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 serta Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, yang menunjukkan komitmen kerajaan terhadap tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar.

Armizan Ali
Armizan Mohd Ali.

Armizan turut mengingatkan kerajaan GRS pada 25 Mei 2023 membentangkan Perlembagaan Negeri Sabah bagi memperkenalkan undang-undang antilompat parti — satu langkah penting menjamin kestabilan politik negeri.

“Ini semua sebahagian daripada 51 enakmen baharu dan pindaan diluluskan di DUN Sabah sejak 2021, ia satu rekod pencapaian besar dalam usaha reformasi undang-undang di negeri ini,” katanya di Facebook.

Armizan berkata, kerajaan pimpinan Hajiji Noor turut melaksanakan pembaharuan institusi dengan memperkukuh peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS) yang kini mempunyai kuasa mengendalikan pendakwaan bagi kesalahan bawah undang-undang negeri seperti tanah, hutan dan alam sekitar.

Katanya, sebelum ini kuasa terbabit hanya dimiliki Jabatan Peguam Negara (AGC) dan perkara itu diiktiraf Putrajaya pada 6 April 2023 yang mempercepatkan proses serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di Sabah.

Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata, manifesto GRS untuk PRN akan memfokuskan kepada agenda reformasi undang-undang yang turut menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri pada 31 Julai lalu menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-undang Sabah (SLRAC) sebagai badan bebas untuk memberi pandangan.

Majlis itu diketuai bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah dan dianggotai Daniel Tan Jwee Peng, David Fung Yin Kee, John Sikayun, Roger Chin Ken Fong dan Shakinur Ain Karama manakala Janice Junie Lim sebagai setiausaha.

Roger Chin adalah bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dan peguam David Fung antara mereka memfailkan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang disahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, semalam.

Chin memuji sumbangan penting kerajaan Sabah pimpinan Hajiji yang secara berterusan menegakkan dan memperjuangkan hak Sabah, menerusi sumbangan menjelaskan rekod sejarah, termasuk pertumbuhan hasil persekutuan diperoleh dari Sabah dari 1964 hingga 1968.

Menurut Armizan, penubuhan majlis itu menunjukkan GRS mahu melibatkan pakar undang-undang, termasuk tokoh Sabah dari pelbagai latar belakang bagi memastikan reformasi dibuat secara profesional, strategik dan berasaskan kepakaran tempatan.

“GRS mahu bergerak lebih kemas dan terancang. Kita manfaatkan kepakaran anak-anak Sabah untuk memastikan setiap pembaharuan undang-undang dan institusi benar-benar membawa kemajuan kepada negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.