
Detik itu bermakna bagi mereka yang menyaksikan kelahiran Timor-Leste. Shyamala, ketika itu seorang pendakwa muda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tiba tidak lama selepas keganasan berakhir dan tinggal cukup lama untuk melihat asas keadilan mula terbina.
Pada 1999, rakyat Timor-Leste mengundi untuk kemerdekaan. Namun kegembiraan itu singkat. Militia pro-Indonesia, disokong sebahagian tentera negara itu, melancarkan keganasan yang memusnahkan kampung, memaksa ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan meragut nyawa ribuan mangsa.
Dalam kekacauan itu, perjuangan kedua bermula — menegakkan keadilan.

Akar perjuangan
Shyamala berasal dari keluarga yang menekankan tanggungjawab awam sebagai panggilan, bukan sekadar kerjaya.
Ibunya, N Saraswathy Devi, antara peguam wanita terawal di Malaysia, pengasas Persatuan Peguam Asean dan pernah menjadi presiden Persatuan Peguam Wanita Antarabangsa pada 2005.
Beliau berkhidmat sebagai peguam sehingga beberapa bulan sebelum meninggal dunia pada 2023, tampil di semua peringkat mahkamah di Malaysia dan memperjuangkan penyertaan wanita dalam sistem kehakiman antarabangsa.
Ayahnya, P Alagendra, kini berusia 96 tahun, seorang bekas pemain hoki Olimpik dan pegawai polis paling berprestij di Malaysia yang terselamat daripada empat percubaan pembunuhan serta membantu membina identiti sukan negara.
Keempat-empat anak perempuan mereka — Raja Rajeswari, Venkateswari, Anna Poorani dan Shyamala — menjadi peguam, masing-masing mengekalkan semangat keadilan yang diwarisi keluarga. Shyamala berkahwin dengan Karim Khan, ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Bagi keluarga Alagendra, mereka sentiasa bersedia berkhidmat untuk undang-undang untuk menegakkan integriti apabila kuasa dipesongkan.
Menegakkan keadilan di tengah runtuhan
Dari 2001 hingga 2005, Shyamala bertugas sebagai pendakwa untuk unit kes jenayah serius di bawah pentadbiran PBB di Timor-Leste.
Tugasnya besar: menyiasat dan mendakwa jenayah kemanusiaan semasa keganasan 1999. Keadilan perlu dibina dari bawah, ada kalanya tanpa elektrik di mahkamah dan komuniti masih dirundung duka.
Beliau menyiasat dan mendakwa tiga daripada sepuluh kes menjadi keutaaan dikenal pasti PBB atas kepentingan sejarah dan moral.
Antaranya ialah kes Lolotoe, kes pertama di Timor-Leste yang mendakwa rogol sebagai jenayah terhadap kemanusiaan — satu penanda aras yang mengubah cara negara itu menangani keganasan berasaskan gender.
Shyamala juga memainkan peranan penting dalam kes pendakwaan pegawai tentera dan polis Indonesia serta pemimpin militia Timor-Leste, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Gereja Suai.
Dalam tugasnya, beliau menerapkan prinsip asas keadilan antarabangsa: tiada pangkat, uniform atau perlindungan politik yang boleh meletakkan sesiapa di atas undang-undang.
Keadilan melalui kerjasama
Sepanjang berada di Dili, Shyamala bekerja bersama Pendakwa Agung Timor-Leste, Longuinhos Monteiro, memimpin penyiasatan bersama pendakwa dan pegawai polis tempatan, sambil membimbing mereka dalam pengumpulan bukti dan pembelaan di mahkamah.
“Keadilan sebenar tidak boleh diimport — ia mesti tumbuh dari dalam masyarakat itu sendiri. Kerjasama, bukan paternalistik, yang memberi ia kehidupan,” katanya.
Daripada pengalaman itu, Shyamala mempelajari satu kebenaran penting: keadilan tidak boleh dijatuhkan oleh pihak asing; ia mesti dimiliki oleh mereka yang menanggung kosnya. Keyakinan itu membimbing setiap babak kerjanya selepas itu.
Di bawah De Mello
Shyamala pernah mengangkat sumpah di hadapan Sérgio Vieira de Mello, pentadbir PBB yang membimbing Timor-Leste melalui peralihan pasca-perang.
De Mello mewakili ideal tertinggi PBB: hak asasi manusia dan kedaulatan berjalan seiring. Pada 2003, ketika bertugas di Baghdad sebagai pegawai kanan hak asasi manusia PBB, beliau maut akibat letupan bom trak.
“Pentadbirannya mengajar kami keadilan adalah tindakan pertama untuk keamanan,” kata Shyamala. “Kematian beliau mengingatkan keberanian moral sering membawa harga tertinggi.”
Kembali ke Dili
Hampir sedekad kemudian, Timor-Leste menjemput Shyamala kembali.
Atas jemputan pendakwa José da Costa Ximenes, beliau kembali untuk melatih hakim, pendakwa dan peguam bela tempatan dalam perkembangan undang-undang jenayah antarabangsa. Pada masa itu, Timor-Leste adalah antara negara pertama di rantau ini meratifikasi Statut Rom ICC, menunjukkan keyakinan mereka pada undang-undang berbanding dendam.
Ximenes berkata: “Dalam sektor keadilan, kami bergantung pada sumbangan Shyamala sebagai seorang rakyat Malaysia yang membantu membina sistem sejak awal kemerdekaan kami. Sebagai anggota Asean, kami amat berterima kasih kepadanya.”

Perjalanan global
Timor-Leste menjadi ‘pentas percubaan’ beliau, tetapi dunia menjadi mahkamahnya.
Shyamala bertugas di Mahkamah Khas Sierra Leone, ICC dan menangani kes besar antarabangsa: dari Darfur, Libya, Balkan hingga Kenya. Kesnya meliputi genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, perhambaan seksual, dan penggunaan kanak-kanak sebagai tentera.
Antara tokoh yang diwakili sebagai peguam bela termasuk Saif al-Islam Gaddafi, Presiden Kenya William Ruto, Fatmir Limaj, dan bekas perdana menteri Libya Baghdadi al-Mahmudi.
Di Sierra Leone, beliau sebahagian daripada pasukan yang menyaksikan Charles Taylor disabitkan dan dipenjara 50 tahun — detik bersejarah dalam undang-undang antarabangsa.
Di Fiji, sebagai penolong pengarah pendakwaan, beliau berjaya membawa hukuman penjara seumur hidup pertama bagi kes rogol kanak-kanak.
Beliau juga menyumbang kepada proses keadilan di Sri Lanka dan Myanmar sebagai penasihat kanan PBB dalam jenayah seksual dan gender.
Kini di The Hague dan pro bono
Kini, Shyamala menetap di The Hague, pusat keadilan antarabangsa dunia. Beliau menjadi peguam di Kosovo Specialist Chambers, bersama kakaknya Venkateswari dari Kuala Lumpur. Mereka mewakili Jakup Krasniqi, bekas jurucakap Tentera Pembebasan Kosovo.
Beliau juga penasihat kanan Independent Investigative Mechanism for Myanmar, memberi tumpuan pada jenayah seksual dan jenayah terhadap kanak-kanak. Di samping itu, Shyamala terus memberi khidmat pro bono kepada mangsa, secara senyap dan tanpa publisiti.
“Undang-undang mesti berkhidmat untuk manusia, bukan kuasa. Keadilan, pada tahap terbaiknya, memulihkan maruah sebelum mengembalikan ketertiban,” katanya.

Bukan sekadar pendakwa
Rakan sekerja menggambarkan Shyamala bukan sekadar pendakwa, tetapi jambatan antara sistem, mangsa, dan undang-undang; antara idealisme keadilan dan praktiknya yang tidak sempurna.
Profesor David Cohen dari Stanford University berkata: “Saya tidak kenal sesiapa yang lebih komited pada keadilan dan kesejahteraan rakyat Timor-Leste daripada Shyamala.”
Shyamala pula berkata: “Undang-undang sahaja tidak boleh menyembuhkan negara — hanya belas ihsan boleh. Di Timor-Leste, saya melihat pengampunan mentakrifkan semula keadilan.”
Kemenangan melalui perdamaian
Dengan keanggotaan Timor-Leste dalam Asean, perjalanan Shyamala lengkap — bukan sekadar bab yang ditutup, tetapi bukti bahawa perdamaian dan rekonsiliasi boleh mengatasi kehancuran.
“Saya menyaksikan ketahanan luar biasa rakyat Timor-Leste — kemahuan mereka untuk membina semula, memaafkan dan berdamai selepas penderitaan yang tidak terbayangkan.
“Keanggotaan mereka dalam Asean bukan sekadar diplomasi; ia adalah kemenangan rekonsiliasi atas kehancuran dan menjadi mercu tanda kepada rantau ini bahawa keamanan sejati lahir bukan daripada kuasa, tetapi daripada keberanian dan kekuatan jiwa manusia,” katanya.
Bagi Malaysia, kisah Shyamala menjadi inspirasi: keadilan berpandu nurani boleh melintasi sempadan.
Bagi Timor-Leste, ia penghargaan tersimpan dalam memori rakyat — untuk seorang rakyat Malaysia berdiri bersama mereka ketika dunia mereka hancur dan membantu mereka menemui suara dalam bahasa undang-undang.