
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata ia dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘the less you delay, the less you pay’, sekali gus menggantikan kempen ad-hoc tawaran diskaun sebelum ini.
Di bawah struktur baharu, diskaun 50% akan diberikan untuk pembayaran dibuat dalam tempoh 15 hari pertama dan 33% antara hari ke-16 hingga hari ke-30.
Tiada diskaun ditawarkan dari hari ke-31 hingga hari ke-60.
Saman yang tidak dibayar selepas 60 hari akan berdepan tindakan mahkamah atau disenaraihitamkan.
Namun, kadar insentif ini tidak terpakai bagi kategori kesalahan yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, lesen kenderaan motor (LKM), dan mempamerkan LKM palsu.
Loke berkata, langkah itu bertujuan untuk menangani kekeliruan dan persepsi undang-undang trafik tidak digunakan secara konsisten disebabkan perbezaan kadar kompaun dan kaedah penguatkuasaan antara JPJ dan polis.
“Bagi mengatasi isu tersebut, Jemaah Menteri pada 17 Okt 2025 telah memutuskan untuk menyelaras kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun bagi memastikan keseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara,” katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen.
Loke berkata, sebelum sistem baharu itu berkuat kuasa, kempen tempoh peralihan yang menawarkan diskaun antara 50% hingga 70% untuk semua saman trafik akan berjalan dari 1 Nov hingga 30 Dis.
“Orang ramai digalakkan untuk menyemak dan membuat pembayaran saman melalui portal MySIKAP, Aplikasi MyJPJ, Aplikasi MyBayar PDRM serta semua kaunter / kiosk JPJ atau semua saluran pembayaran saman polis,” katanya.
Saifuddin berkata, diskaun 50% akan ditawarkan untuk saman JPJ sepanjang kempen berkenaan. Saman polis pula layak mendapat diskaun 70%.
Tambahnya, diskaun ad-hoc pada masa lalu telah menggalakkan pengguna jalan raya menangguhkan pembayaran kerana menjangkakan tawaran akan datang. Sistem baharu ini bertujuan menamatkan amalan sedemikian.