
Semakin ramai rakyat Singapura kini menjadi mangsa kandungan berbahaya dalam talian, seterusnya kerajaan berkata Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (Relif dan Akauntabiliti) akan membantu mereka mendapatkan relif dan pampasan dari segi undang-undang.
RUU itu bagi pembentukan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian yang mempunyai kuasa menangani aduan terhadap kandungan berbahaya.
Antara kuasa bakal diberikan termasuk “arahan untuk menurunkan kandungan berbahaya, menyekat akaun dalam talian pelaku atau membenarkan mangsa membuat hantaran sebagai jawapan,” menurut kenyataan bersama kementerian pembangunan digital dan penerangan (MDDI) serta kementerian perundangan.
“Arahan menurunkan hantaran boleh dikenakan terhadap mereka yang mengongsikan kandungan berbahaya, pentadbir dalam talian, atau platform media sosial,” menurut kenyataan itu.
“Kegagalan mematuhi arahan berkenaan adalah perbuatan jenayah.”
Dalam keadaan seperti itu, suruhanjaya berkenaan boleh mengeluarkan arahan menyekat akses atau membuang sesuatu aplikasi untuk menghentikan bahaya dalam talian.
Suruhanjaya itu pada awalnya akan meliputi lima kategori bahaya dalam talian menjelang pertengahan 2026 termasuk gangguan dalam talian, “doxxing” (mengongsikan maklumat peribadi orang lain tanpa izin), menghendap, imej penderaan kanak-kanak, dan mengongsikan gambar peribadi tanpa izin.
Kategori lain termasuk penyamaran dalam talian dan “deepfake” akan ditambah kelak.
Suruhanjaya itu dijangka mula beroperasi Jun tahun depan.
RUU itu memberi asas perundangan untuk mangsa mempertanggungjawabkan pelaku, manakala platform dalam talian boleh diwajibkan mendedahkan identiti individu yang dirahsiakan sekiranya menaikkan kandungan berbahaya.
Kaji selidik MDDI mendapati lebih 84% responden di Singapura berdepan kandungan dalam talian yang berbahaya, dan 33% mengalami perlakuan dalam talian berbahaya dalam tempoh setahun lalu.