Saksi nampak kesan darah kering dalam diari Zara

Saksi nampak kesan darah kering dalam diari Zara

Pelajar yang tinggal sebilik di asrama turut memberitahu inkues bahawa Zara Qairina Mahathir pernah menunjukkan parut di lengannya berbentuk seperti kod bar.

zara qairina
Seorang saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir berkata, pelajar Tingkatan 1 itu pernah membenarkannya membaca diari miliknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar yang tinggal sebilik asrama dengan Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu yang dia pernah ternampak kesan darah kering dalam diari milik Zara.

Saksi kanak-kanak ke-17 berkata dia ternampak kesan tersebut ketika Zara membenarkannya membaca diari berkenaan, lapor Utusan Malaysia.

Dia yang juga saksi keseluruhan ke-26 dalam inkues kematian pelajar Tingkatan 1 itu berkata Zara banyak meluahkan perasaannya terhadap seorang rakan sekolah dalam catatan diari itu.

Menurut peguam Rizwandean M Borhan, saksi berkenaan turut berkata pada 15 Jul– beberapa jam sebelum Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolah – dia melihat Zara duduk di lantai di depan almari pakaiannya.

Pelajar itu juga berkata dia tidak pernah melihat Zara bergaduh, menjerit, menangis atau dimarahi sesiapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, sekali gus bercanggah dengan kenyataan beberapa saksi lain.

Sebelum ini, peguam Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Zara berkata, saksi kanak-kanak keenam mendakwa dia pernah terdengar perbualan antara Zara dan seorang pelajar senior mengenai tuduhan mencuri.

Menurutnya, saksi itu juga berkata dia melihat empat lagi pelajar senior masuk ke bilik berkenaan sebelum terdengar seseorang menengking Zara seperti sedang memarahi.

Ram berkata, saksi itu kemudian melihat Zara keluar dari bilik sambil menangis – kali terakhir dia melihat Zara pada petang tersebut.

Saksi dalam prosiding hari ini turut memberitahu awal tahun ini, Zara pernah menunjukkan parut di lengannya berbentuk seperti kod bar yang dibuat sendiri, tetapi tidak menjelaskan bagaimana ia terjadi.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan peguam Shahlan Jufri berkata saksi kanak-kanak ke-13 memberitahu mahkamah bahawa beberapa pelajar asrama telah mengukir bentuk ‘kod bar’ di lengan masing-masing menggunakan pemotong.

Shahlan berkata, perbuatan itu dikatakan menjadi satu ‘trend’ ddi kalangan pelajar kumpulan tersebut, dan saksi berkenaan turut mengikutinya.

Namun, pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth, Dr Janefer Voo, yang menjalankan pemeriksaan ke atas mayat Zara, berkata beliau tidak menemui sebarang tanda seperti itu pada tubuh mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.