Kesatuan pelajar dihidupkan kembali di UA mulai tahun depan

Kesatuan pelajar dihidupkan kembali di UA mulai tahun depan

Maszlee Malik berkata kesatuan pelajar akan mengelola perniagaan mereka sendiri di dalam universiti, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar yang memerlukan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mendengar ucapan disampaikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kesatuan pelajar akan dihidupkan kembali di universiti awam (UA) pada tahun hadapan bagi menjadi medan golongan siswa melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata kesatuan pelajar akan mengelola perniagaan mereka sendiri di dalam universiti, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar yang memerlukan.

“Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang.

“Saya memahami gelutan yang dihadapi dan kita di kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita tubuhkan kembali kesatuan pelajar,” katanya semasa berucap pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Maszlee juga yakin kembalinya kesatuan pelajar di UA akan membawa industri lebih dekat dengan universiti.

Pada mesyuarat itu, Maszlee turut menyeru mahasiswa memanfaatkan MPPK itu sebaiknya dan mewacanakannya secara kritikal dan serius.

MPPK adalah medium pemimpin mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada universiti awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia menyuarakan idea dan pandangan mahasiswa kepada kepemimpinan tertinggi kerajaan.

MPPK kali ini membincangkan lima kertas pertimbangan iaitu Stigma Terhadap Kesihatan Mental; Kebolehpasaran Graduan Dalam Era Revolusi Industri 4.0; Transformasi Tanah Pertanian Dalam Sektor Agromakanan; Melestarikan Persekitaran; dan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia: Memartabatkan Kualiti Pendidikan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.