
Terus ke tajuk utama, “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”, sebuah buku berunsur komikal atau doktrinisasi yang cuba disalurkan ke arus sistem pembelajaran di negara kita, realitinya adalah di antara asas doktrinisasi berkonsepkan cara pendidikan dan asas kepimpinan berkonsepkan gaya pemerintahan.
Itu pasti.
Inilah pendekatan yang jelas dipertontonkan dalam tindakan pihak Muzium Kebudayaan Komik Asia yang mana juga memperlihatkan seolah-olah menjadi atau dijadikan ejen kepada sebuah parti politik di Malaysia dan dalam isu ini dinyatakan khusus mengenai DAP yang dibayangkan seolah-olah satu-satunya parti yang berjaya menjatuhkan kerajaan kleptokrat pada pilihan raya umum lalu.
Tergamam membaca pengisian tersebar luas melalui saluran-saluran di media sosial. Pelbagai unsur santapan minda berkeceramuk di kepala terungkap di bibir ketika itu.
Namun, hatta apa pun yang bermain di fikiran sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan penerbitan buku komik tersebut, persoalannya, apakah motif penerbitannya dan apakah agenda di sebalik pengedarannya yang mana sasarannya adalah sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan.
Justeru, tindakan mengedarkan naskhah secara percuma dilakukan secara terus melalui pengetua yang disebutkan melalui surat rasmi yang ditandatangani oleh Pengurus Muzium Kebudayaan Komik Asia tanpa pengetahuan dan tanpa kelulusan Kementerian Pendidikan.
Tindakan licik ini juga menimbulkan pelbagai reaksi negatif di seluruh negara. Pengisian bahan bacaan tersebut mengandungi elemen-elemen mengundang persepsi negatif rakyat dari pelbagai sudut.
Doktrinisasi melalui pendidikan; pendekatan ideologi komunisme; ideologi liberalisme melampau; taktik pendekatan canggih dalam mencorak dan menanam pengetahuan yang mampu merosakkan minda generasi muda; fakta-fakta yang bercanggah lagi memesongkan; melibatkan sensitivi penglibatan parti-parti politik dalam Pakatan Harapan; ketegasan sistem pendidikan Malaysia; sistem demokrasi vs sistem pendidikan; melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan masa hadapan mereka dan banyak lagi.
Apa yang lebih mengejutkan adalah kandungan prakata di dalam komik tersebut. Begitu hinanya penerbit komik yang menyebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara pluralisme.
Tindakan mengedarkan kandungan yang sepenuhnya berunsur politik dan memesongkan hendak diedar kepada sekolah-sekolah untuk dibaca pelajar kita. Ini merupakan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan perbuatan ini wajib dikenakan tindakan undang-undang.
Persoalannya juga, apakah sentimen ini dimainkan akibat daripada keghairahan merebut peluang terkini yang terbuka melalui pembentukan terbaru yang meluluskan mereka yang berusia 18 tahun dibenar mengundi ataupun sekadar menghasilkan kebinggungan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah.
Tindakan ini wajib dikecam sekeras-kerasnya kerana ia mampu menjadi punca kerosakan akhlak dan pengetahuan pelajar. Apapun penjelasannya, agenda pengedaran komik tersebut ternyata kotor.
Apakah mereka yang terlibat dalam pembikinan komik ini akan kekal dengan cara mereka menghasut dalam pelbagai cara dan upaya dari pelbagai peringkat kuasanya, ini juga perlu diberi perhatian dan waspada.
Sejujurnya kerisauan yang tidak dapat disangkal apabila tiba masanya nanti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanyalah sekadar catatan sejarah politik Malaysia.
Masanya terlalu dekat dan pada ketika itu di kalangan umat Islam masih lagi mendabik dada dalam keadaan berpecah dan mereka yang bukan Islam pula yang bersatu merebut kuasa politik negara.
Jika subjek Jawi ditentang dibentak diugut bertubi-tubi hinggakan rentetan tersebut menyebabkan Kementerian Pendidikan terpaksa berkompromi dengan bentakan pihak yang terlibat, apakah dalam isu komik ini harus didiamkan?
Adakalanya politik amat menjengkelkan pabila individu-individu di dalam kepimpinan politik negara bertindak mendakap sentimen favotisme atau pilih kasih dalam menyuarakan sesebuah isu.
Berdiam dikata membisu, bersuara dikata rasis. Namun bertindak walau bisu suaranya jauh lebih besar kesannya dan manfaatnya kepada anak bangsa dari “berkata-kata laksana burung kakak tua yang petah, namun dia sendiri tidak faham apa yang diperkatakan”.
Amalan zaman-berzaman, jika mereka punyai pandangan peribadi dalam sesebuah isu, makanya kita juga mampu menyuarakan mengikut lunas demokrasi dan hak bersuara dan suara ini juga seharusnya tidak dilabelkan sebagai rasis!
Secebis pesanan buat di kalangan mereka yang terlalu sibuk merebut kuasa sekangkang kera yang sia-sia, direbut laksana seluas dunia keuntungannya padahal sedang mereka merebut sesama mereka, tanah seluas Malaya dimiliki orang sedikit mereka tak terasa. Sesuatu yang pedih untuk diakui namun sia-sia jika dinafikannya.
Untuk tidak tergolong di kalangan kaum yang “menang sorak kampungnya tergadai lalu bangsanya tergajai”, bertindaklah dalam fokus pada pembentukan dan pengukuhan Pakatan Harapan dan bukan ke arah perpecahan yang berpunca dari dalam.
Sentimen yang merobek keharmonian di antara kaum akan kami tentang habis-habisan. Tiada tempat bagi golongan pengusaha merosakkan pemikiran anak-anak bangsa dan negara.
Apapun saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan atas tindakan pantas mengeluarkan arahan menyiasat dan menghalang pengedaran komik tersebut demi menyelamat dan memelihara kesejahteraan minda pelajar-pelajar.
Penyebar hasutan menjana Perpecahan dan membawa kehancuran.
Demi Tanahair Tercinta.
Mahathir Mohd Rais adalah Exco Armada Nasional PPBM
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT