Saifuddin cadang 1 pelan pendidikan, bukan asing untuk KPM, KPT

Saifuddin cadang 1 pelan pendidikan, bukan asing untuk KPM, KPT

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata tumpuan mesti terarah melahirkan insan baik bermula prasekolah, sekolah rendah, menengah sehingga universiti.

pelajar sekolah menengah
Ahli Parlimen PN Saifuddin Abdullah mahu nisbah akademik:kokurikulum yang kini 90:10 perlu diubah kepada 70:30.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata negara sepatutnya mempunyai satu pelan pendidikan sahaja, bukan terasing untuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata ia bertujuan melicinkan proses membina adab yang menjadi asas pembinaan ilmu dan kemahiran termasuk melahirkan insan baik.

“Dari segi ‘design’ kurikulum, model insan baik ialah Rasulullah, iaitu teladan terbaik. Kemuncaknya ialah peringkat universiti.

“Dengan model ini, kita reka bentuk kurikulum mengikut tahap-tahapnya, iaitu dari prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga universiti.

“Untuk memuluskan/melicinkan prosesnya, kita sepatutnya mempunyai satu pelan pendidikan sahaja, bukannya satu untuk KPM dan satu untuk KPT,” katanya dalam tulisan di Sinar Harian.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, dasar pendidikan juga bukan sekadar melahirkan pekerja baik, sambil merujuk pembinaan adab iaitu disiplin jasad, akal, dan roh.

“…bukannya sekadar karakter. Kerana karakter dalam makna asalnya merujuk topeng yang menggambarkan sifat yang berubah-ubah.”

Saifuddin yang juga ketua portfolio pendidikan PN berkata, sekolah mesti menjadi tempat selamat – riang dan girang, bukannnya tegang dan diserang, merujuk kes pembunuhan, rogol, cabul, dan buli sehingga menimbulkan krisis keselamatan pelajar di institusi pendidikan itu.

Katanya, kokurikulum perlu diperluaskan skopnya dan diberi pemberatan lebih.

“Perlu dikeluarkan sijil kokurikulum yang menilai keterlibatan dan pembelajaran sebenar, bukannya sekadar sijil kehadiran. Nisbah akademik:kokurikulum yang kini 90:10 perlu diubah kepada 70:30,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.