Kanser payudara lelaki tak terkecuali… Jangan leka!

Kanser payudara lelaki tak terkecuali… Jangan leka!

Jangan fikir hanya wanita sahaja boleh terkena kanser payudara sedangkan lelaki juga berdepan risiko jika tidak dirawat dengan awal.

Jangan sangka wanita sahaja berdepan risiko untuk menghidap kanser payudara tetapi lelaki juga sebenarnya berisiko untuk mendapat kanser payudara tetapi peratusannya amatlah rendah.

Dianggarkan kurang daripada 1% kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki dan hanya seorang dalam seribu lelaki didiagnosis memiliki kanser payudara.

Bagaimanapun, kadar kematian akibat kanser payudara dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi disebabkan kesedaran yang lebih sedikit.

Mereka seringkali tidak menganggap ketulan pada bahagian payudara adalah kanser, menyebabkan mereka lewat didiagnosis dan mendapatkan rawatan.

Kanser payudara lelaki

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua golongan lelaki dan wanita dilahirkan dengan tisu dan sel payudara.

Walaupun golongan lelaki tidak berkemampuan menghasilkan susu badan tapi sel dan tisu payudara lelaki masih mampu berkembang menjadi kanser.

Pada kebiasannya, kanser payudara dalam kalangan lelaki dikesan melalui ketulan keras di bawah puting dan areola.

Kebanyakan kes kanser payudara dalam kalangan lelaki adalah Infiltrating Ductal Carcinoma (IDC), iaitu sel yang berada di sekitar salur atau ducts mula menyerang tisu lain yang berada di sekitarnya.

Amat jarang untuk golongan lelaki didiagnosis dengan kanser payudara disebabkan oleh keradangan.

Faktor risiko kanser payudara lelaki

Terdapat beberapa faktor risiko kanser yang boleh terjadi dalam kalangan lelaki, iaitu:

· Umur yang semakin meningkat

· Pendedahan diri terhadap radiasi

· Tahap hormon estrogen yang tinggi

· Sejarah keluarga yang pernah mempunyai kanser payudara, terutamanya kanser payudara yang berkaitan dengan gen BRCA2.

· Sindrom Klinefelter

· Penyakit hati

· Obesiti

· Penyakit testikel atau pembedahan keatas testikel

Tanda dan simptom kanser payudara lelaki

Kanser payudara lelaki mempunyai simptom yang sama seperti mana kanser payudara wanita. Antara simptomnya adalah:

· Kewujudan ketulan yang tidak menyakitkan

· Berlakunya penebalan pada bahagian tisu payudara

· Perubahan keadaan kulit yang meliputi payudara anda seperti kemerahan dan kedutan

· Perubahan keadaan puting payudara

Anda perlu berjumpa dengan doktor perubatan secepat mungkin sekiranya anda mendapati sebarang perubahan atau kelainan daripada biasa yang terdapat pada payudara anda.

Pengesanan awal boleh mengurangkan risiko kematian akibat kanser ini selain meningkatkan pilihan rawatan kanser.

Jangan fikir bahawa anda adalah seorang lelaki, anda tidak mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.

Selagi mana anda memiliki payudara, selagi itulah anda tetap berisiko untuk mendapat kanser ini.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.