
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Mohamad melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa penyakit kanser menyumbang 10.92% daripada 384,371 kes penyakit tidak berjangkit (NCD) — bersamaan 42,054 kes — daripada tahun 2011 hingga 2024.
“Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa kanser merupakan antara penyumbang utama kepada kehilangan upaya dan ketidakmampuan pekerja di negara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa.
Rahman merujuk kepada pelbagai jenis kanser, manakala kes lain melibatkan pelbagai komplikasi berkenaan jantung, paru-paru dan lain-lain organ utama.
Dalam usaha menyediakan intervensi pemulihan alternatif dan sokongan kepada pekerja yang menghidap kanser, Perkeso meneliti perkembangan teknologi rawatan terkini, antaranya ‘proton beam therapy’ (PBT).
“Kita mengambil maklum teknologi ini telah pun dibangunkan dan digunakan di negara jiran seperti Thailand dan Singapura, menunjukkan ia bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.
“Dengan sokongan Kementerian Kesihatan dari aspek protokol klinikal, kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, latihan tenaga pakar serta penyelarasan dasar yang berkaitan, Kesuma percaya Malaysia berpotensi besar menjadi antara negara yang mampu menawarkan rawatan PBT pada masa hadapan,” katanya.