
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata situasi itu membimbangkan dan saringan kesihatan penting sebagai inisiatif untuk mencegah kelewatan diagnosis.
“Lebih 50,000 kes kanser baharu dikesan setahun dan lazimnya datang dengan tahap tiga dan empat, makna sudah terlambat.
“Antara kanser yang kerap dikesan di negara ini termasuk kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat.
“Saya mahu rakyat sedar dan bayangkan salah seorang keluarga disahkan mengalami kanser, ia pastinya memberi kesan terhadap kewangan keluarga,” katanya ditemui selepas menghadiri program ‘Bald and Beautiful Day 2025’ di Elmina, hari ini.
Justeru, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang melaksanakan program saringan kesihatan secara besar-besaran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Ini sebabnya kita di KKM menekankan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) mengenai kepentingan membuat saringan bagi mengesan penyakit lebih awal.
“Kita berhasrat untuk melakukan lebih satu juta saringan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berharap KKM diberikan peruntukan munasabah dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membangunkan kemudahan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat.
“Biasanya kita di menerima peruntukan kedua tertinggi. Perdana menteri yang juga menteri kewangan telah menunjukkan komitmennya dalam memberi sokongan.
“Peruntukan sebelum ini untuk membangunkan fasiliti hospital daif agak wajar dan munasabah tetapi keperluan membangunkan moral kakitangan juga penting, dengan beberapa permintaan yang akan diumumkan termasuk elaun dan sebagainya. Ia penting kerana kita berdepan masalah kekurangan kakitangan,” katanya.
Tahun lalu, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi berjumlah RM45.3 bilion dalam Belanjawan 2025 untuk menjalankan tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.
Peruntukan itu meliputi RM1.35 bilion bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital uzur dan wad pesakit yang usang.