Saring kanser: Kerajaan digesa sedia dana, rebat pemeriksaan

Saring kanser: Kerajaan digesa sedia dana, rebat pemeriksaan

Pakar perubatan berkata kos saringan boleh mencecah ratusan ringgit menjadi halangan utama bagi kebanyakan rakyat.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menasihatkan orang ramai menjalani saringan kesihatan berkala dalam usaha mencegah kelewatan diagnosis kanser.
PETALING JAYA:
Kerajaan disaran menyediakan dana atau rebat bagi menggalakkan rakyat terutama kumpulan berisiko menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, susulan laporan membimbangkan mengenai peningkatan kes kanser dengan merekodkan lebih 50,000 kes baharu setiap tahun.

Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, menegaskan kos saringan yang boleh mencecah ratusan ringgit menjadi halangan utama bagi rakyat kelas pertengahan dan bawahan.

Dr Zainal Ariffin Omar.

“Bantuan kewangan dapat merapatkan jurang ini. Ia pelaburan yang menjimatkan wang yang lebih besar dalam jangka panjang dengan mengelakkan rawatan kompleks untuk kanser tahap lanjut,” kata bekas pengarah kesihatan Pahang kepada FMT.

Saranan itu menyahut gesaan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad baru-baru ini yang menasihatkan orang ramai menjalani saringan kesihatan berkala dalam usaha mencegah kelewatan diagnosis kanser.

Sementara itu, Dr Muhammad Zarif Asraf, senada mengatakan saringan awal amat penting kerana ia memberikan prognosis (jangkaan perjalanan penyakit) yang lebih baik, lalu kos rawatan lebih rendah berbanding rawatan peringkat lanjut.

Beliau bagaimanapun berkata, pemeriksaan berkala wajar ‘wajib’ bagi kumpulan berisiko tinggi seperti perokok, individu mengalami obesiti, dan mereka mempunyai keluarga dengan sejarah berkaitan kanser yang signifikan.

“Namun, perlu diingat bukan semua penyakit kanser sesuai untuk saringan secara umum,” kata pegawai perubatan di Hospital Tunku Azizah.

Bagaimanapun, Zainal memaklumkan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) belum cukup bersedia untuk menampung jutaan rakyat yang akan membuat saringan tahunan, jika ia diwajibkan.

“Jutaan rakyat Malaysia membuat saringan tahunan akan membebankan sistem kesihatan sedia ada. Klinik dan hospital akan mengalami kesesakan yang teruk dan mungkin menjejaskan kualiti perkhidmatan untuk pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.