Laporan polis terhadap ‘pakar onkologi palsu’ beri nasihat kanser

Laporan polis terhadap ‘pakar onkologi palsu’ beri nasihat kanser

Lelaki berusia 36 tahun itu, yang menawarkan kursus dan konsultasi pemakanan kanser berharga RM1,799, mendakwa bersara sebagai pakar onkologi pada Oktober lalu.

doctor
Polis merujuk aduan seorang warga emas berhubung seorang pakar onkologi ‘tidak bertauliah’ yang memberi nasihat pemakanan kanser di media sosial kepada Kementerian Kesihatan dan SKMM. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas membuat laporan polis berikutan kebimbangannya terhadap seorang lelaki yang mendakwa dirinya pakar onkologi dan aktif memberi nasihat pemakanan berkaitan kanser di media sosial.

Isteri pengadu antara yang menerima nasihat lelaki berusia 36 tahun terbabit walaupun tidak mempunyai kelayakan perubatan yang dapat disahkan.

Dalam laporan itu, pengadu berkata beliau menemui hantaran Facebook oleh lelaki itu yang mendakwa telah bersara sebagai pakar onkologi pada Oktober tahun lalu.

Lelaki itu juga didakwa aktif menggunakan Facebook dan Instagram untuk berkongsi maklumat berkaitan pemakanan kanser.

Warga emas itu berkata semakan dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Majlis Perubatan Singapura mendapati tiada rekod yang menunjukkan lelaki berkenaan adalah seorang doktor perubatan berdaftar.

“Jika dia mahu memberi nasihat pemakanan, dia mesti mempunyai kelayakan yang sesuai,” katanya dalam laporan itu, sambil menambah sukar dipercayai seseorang yang baru berusia 36 tahun sudah bersara sebagai pakar onkologi.

Semakan FMT ke atas akaun media sosial lelaki itu mendapati beliau kerap memuat naik kandungan berkaitan pemakanan kanser serta mempromosikan konsultasi khas untuk pesakit yang sedang menjalani kemoterapi.

Semakan sama turut mendapati kursus dan konsultasi pemakanan kanser yang ditawarkan itu dikenakan bayaran RM1,799 dan disenaraikan dalam sebuah katalog perniagaan dalam talian bersama produk lain seperti minyak ubat tradisional Cina untuk lebam dan kecederaan serta produk sourdough.

Dalam kenyataan kepada FMT, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Rusdi Isa berkata kes itu tidak diklasifikasikan sebagai jenayah komersial.

Beliau berkata laporan itu yang dibuat di Balai Polis Semenyih, melibatkan seorang individu yang mendakwa dirinya pakar perubatan di media sosial.

“Polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘RoA’ (dirujuk kepada agensi lain),” katanya.

“Kes ini telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.”

Kelayakan, dakwaan dipersoal

Dalam perbualan dengan FMT, lelaki itu berkata tugasnya tertumpu kepada pemberian panduan pemakanan khusus mengikut jenis kanser.

“Kerja saya adalah berkaitan pemakanan kanser. Contohnya, pesakit kanser perut perlu mengelakkan makanan tertentu secara kekal, dan itulah yang saya nasihatkan. Kanser, seperti penyakit kronik lain seperti diabetes, memerlukan pengelakan makanan tertentu,” katanya.

Beliau menambah perkhidmatannya turut merangkumi nasihat gaya hidup, pengurusan emosi serta semakan laporan perubatan bagi memastikan pilihan makanan tidak menjejaskan keberkesanan ubat kanser.

Apabila ditanya mengenai kelayakannya dan mengapa namanya tidak tersenarai dalam pangkalan data MMC atau Daftar Pakar Kebangsaan (NSR), beliau berkata:

“Saya pernah berdaftar sebelum ini, tetapi rekod NSR dipadam selepas pendaftaran dibatalkan. Saya sebelum ini bekerja sebagai pakar onkologi di sebuah hospis di Malaysia yang kini telah ditutup.”

FMT telah menghubungi MMC selepas semakan mendapati tiada rekod nama lelaki itu dalam pangkalan data doktor atau daftar pakar, NSR.

Semakan FMT di media sosial turut menemukan hantaran lelaki itu yang membincangkan kesan sampingan Lorlatinib, iaitu ubat preskripsi yang lazim digunakan untuk merawat kanser paru-paru tahap lanjut.

FMT juga telah menghubungi Kementerian Kesihatan dan Agensi Regulatori Farmasi Negara berhubung promosi Lorlatinib secara dalam talian.

Menurut sebuah laman sesawang yang menyenaraikan perkhidmatan pemakanan beliau, lelaki itu memiliki ijazah sarjana muda dari sebuah universiti tempatan dan pernah mengajar perubatan paliatif di sebuah universiti swasta di Johor.

Beliau turut mendakwa pernah berkhidmat sebagai perunding penyelidikan kanan di sebuah hospital swasta di Singapura serta sebuah hospital terkemuka rawatan kanser di Korea Selatan.

FMT telah menghubungi universiti dan hospital berkenaan untuk mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.