Pecah amanah RM21,000, pesakit kanser diperintah jalani bon kelakuan baik

Pecah amanah RM21,000, pesakit kanser diperintah jalani bon kelakuan baik

Tertuduh merupakan pesakit kanser tahap empat perlu jalani kemoterapi setiap dua minggu dan tukar beg stoma dua kali sebulan.

gavel
Mahkamah Sesyen Kuching memerintahkan Ivy Estivia Lita, 34, jalani bon berkelakuan baik tiga tahun atas sabitan 16 pertuduhan pecah amanah wang tambah nilai kad keahlian. (Gambar Reuters)
KUCHING:
Wanita yang juga bekas juruwang di sebuah pasar raya diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas 16 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM21,700.

Hakim Afidah Abdul Rahman memutuskan demikian terhadap bekas juruwang di sebuah pasar raya, Ivy Estivia Lita, 34, selepas mengambil kira keadaan tertuduh yang menghidap kanser kolon tahap empat dan sedang menjalani rawatan kemoterapi secara berkala.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah wang tambah nilai kad keahlian sebanyak 21 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM21,700.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dari tempoh 5 Jan hingga 20 Feb 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta dengan sebat dan juga didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu untuk hukuman yang lebih ringan atas alasan sukar untuk menguruskan diri akibat keadaan kesihatannya, selain sedang menjalani rawatan kemoterapi setiap dua minggu serta perlu menukar beg stoma sebanyak dua kali dalam sebulan.

“Saya juga telah membawa semua dokumen yang berkaitan untuk membuktikan bahawa saya sedang menjalani rawatan serta mempunyai janji temu perubatan secara berkala,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.