
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan arahan itu selepas memutuskan saman yang difailkan pada Jun lalu mempunyai kecacatan.
“Saman sedia ada gagal menamakan pemegang jawatan Umno Pekan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.”
Bagaimanapun, katanya, ketidakpatuhan itu tidak mencukupi untuk mewajarkan saman itu dibatalkan.
Oleh itu, beliau mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memfailkan semula saman itu dalam masa 7 hari atau mahkamah akan membatalkan saman itu, jika gagal berbuat demikian.
Allan berkata, beliau akan memfailkan saman baru pada 6 September ini.
Nazlan kemudiannya menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula.
Umno Pekan diwakili peguam M Reza Hassan.
Difahamkan, pemegang jawatan bahagian itu ialah bekas perdana menteri, Najib Razak.
Kerajaan cuba merampas RM700,000 daripada Umno Pekan.
Ia sebahagian daripada RM270 juta yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cuba dapatkan semula daripada 41 entiti dan individu yang didakwa disalurkan daripada akaun bank Najib.