
Portal berita Scoop memetik sumber melaporkan, SPRM mengenal pasti dua eksekutif IJM sebagai ‘individu berkepentingan’, namun kedua-duanya kini berada di luar negara.
Siasatan dimulakan susulan tindakan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pelaburan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua individu tersebut.
Menurut sumber, SPRM masih dalam proses mengumpul maklumat berhubung dakwaan terbabit dan kertas siasatan rasmi belum dibuka.
Agensi antirasuah itu dilaporkan sedang meneliti kemungkinan berlakunya manipulasi harga saham yang mempunyai kaitan dengan kes pengubahan wang haram tersebut.
Difahamkan, kes ini berpotensi menjejaskan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Bhd menerusi urus niaga tunai dan saham mega bernilai lebih RM11 bilion.
Sumber SPRM itu memaklumkan, agensi tersebut telah menghubungi Sunway bagi membantu siasatan.
Dalam satu makluman Bursa pada 12 Jan, Sunway mengumumkan ia telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.
Sunway dikawal oleh pengasas dan pengerusinya, Jeffrey Cheah, yang memegang 0.5% kepentingan langsung dan 60% kepentingan tidak langsung.
Hampir separuh saham IJM dipegang oleh entiti-entiti berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham terbesar (16.8%), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Cadangan pengambilalihan itu dikritik oleh segelintir pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang mempersoalkan kewajaran langkah tersebut memandangkan IJM masih mencatatkan keuntungan serta ditadbir urus dengan cekap.
Dalam pada itu, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menjangkakan urus niaga itu menggugat pegangan ekuiti Bumiputera, menjejaskan kepentingan negara serta meletakkan nilai terlalu rendah ke atas IJM.