
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata mereka dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya bermula 10 pagi tadi.
“Dua (pengurusan tertinggi IJM Corporation) akan hadir. Kami akan temubual mereka dan lihat. Tiada penahanan dan kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes ini,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Penyerahan Projek dan Perasmian Pusat Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Bandar Enstek, Nilai.
Beliau berkata, terlalu awal untuk mengulas dakwaan salah laku itu kerana SPRM memerlukan masa meneliti dokumen memandangkan ia isu korporat dan siasatan baru bermula semalam.
“Jangan anggap satu hari kita boleh panggil berpuluh-puluh orang. Bagi kami masa sebab ia melibatkan isu korporat,” katanya sambil meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan dakwaan negatif berhubung kes itu.
Semalam, media melaporkan seorang pengurusan tertinggi syarikat itu yang bergelar Tan Sri dan seorang penasihat dikenal pasti individu berkepentingan dalam kes terbabit.
Serious Fraud Office United Kingdom mendedahkan siasatan dilancarkan ke atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah dikaitkan dengan transaksi pelaburan berbilion ringgit membabitkan dua eksekutif syarikat itu.
Pada 12 Jan la.lu, Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.