
Syarikat pembinaan tersebut memaklumkan, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan diteruskan seperti biasa.
“Syarikat komited memartabatkan standard tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang utuh,” katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia.
“Kami akan terus memantau perkembangan isu ini dan akan membuat pengumuman sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.”
Terdahulu, portal berita Scoop memetik sumber melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion yang membabitkan pengurusan tertinggi IJM.
Menurut sumber, SPRM telah mengenal pasti dua pegawai sebagai ‘individu berkepentingan’, namun kedua-duanya kini berada di luar negara.
Siasatan dimulakan susulan tindakan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pelaburan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua individu berkenaan.
Bernama kemudian melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap IJM sedang berjalan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.