SPRM cadang kemasukan e-waste digantung 6 bulan

SPRM cadang kemasukan e-waste digantung 6 bulan

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata tempoh itu sebagai langkah melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan.

Shahrum Hashim
Malaysia dilaporkan menjadi antara negara teratas mengimport sisa e-waste sejak 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cadang moratorium sementara enam bulan ke atas kemasukan sisa plastik dan sampah elektronik (e-waste) bagi menilai kesan terhadap negara.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata tempoh dicadangkan itu sebagai langkah percubaan melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan ketua setiausaha negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Azmi Kamaruzaman serta Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Azam berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-waste bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar, sebaliknya menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional.

Katanya, laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023, manakala Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4% sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.

Pada mesyuarat itu, Azam menegaskan keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya kastam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Katanya, kastam misalnya berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967, manakala JAS bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.

“Miti pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.