
Khaled berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan tersebut dan akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan, dan perundangan yang berkuat kuasa.
Katanya, kementerian akan menilai secara mendalam implikasi keputusan ini terhadap pelaksanaan perolehan sedia ada, termasuk kontrak telah dimeterai.
“Kementerian sewajarnya perlu memberi pertimbangan serius terhadap keperluan memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara kekal terpelihara dan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Khalid berkata, pihaknya juga sedang meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.
Awal hari ini, Anwar menggesa semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan dibekukan sehingga proses itu disemak bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhya.
Katanya, walaupun kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan ‘tegas dan menyeluruh’ perlu diambil.
Beliau berkata, semua proses perolehan juga mesti dikaji dan dipinda bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang.
Baru-baru ini, angkatan tentera menjadi tumpuan susulan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai kanan, khususnya berkaitan projek dan tender perolehan ketenteraan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pihaknya akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan susulan siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi angkatan tentera dan satu kartel dikaitkan dengan kontrak perolehan tentera.
Bagi siasatan kontrak perolehan, Azam memaklumkan SPRM menyita RM1.3 juta wang tunai, RM721,000 mata wang asing dan 66 kepingan emas bernilai RM1.7 juta. Agensi itu turut membekukan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM4.7 juta.
Azam turut berkata, siasatan SPRM terhadap kartel kontrak perolehan itu amat sensitif, bukan sahaja kerana melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi juga kerana kedudukan tinggi pegawai terlibat.