Cabaran Gunung Berembun di sebalik kehilangan remaja Ireland

Cabaran Gunung Berembun di sebalik kehilangan remaja Ireland

Walaupun berdepan pelbagai kesulitan dan risiko sesat, hutan tertua di dunia itu yang berbukit dan dipenuhi misteri, tetap menggamit pengunjung.

Pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang masih diteruskan. (Gambar Bernama)
NILAI:
Hutan Hujan Tropika di Malaysia sering menjadi tarikan penggemar aktiviti mencabar menerokai misteri keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Walaupun berdepan pelbagai kesulitan dan risiko termasuk sesat, hutan tertua di dunia itu yang berbukit dan dipenuhi misteri, tetap menggamit pengunjung.

Kejadian pendaki atau pengunjung dilapor hilang ketika mendaki atau beriadah di kawasan pinggir hutan banyak dilaporkan dan kebanyakan mereka ditemui selamat.

Terbaru, Gunung Berembun di Jalan Pantai, menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa berikutan kes kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang juga anak istimewa, Ahad lepas ketika bercuti bersama keluarganya di Resort The Dusun, Pantai.

Menurut pendaki yang pernah mendaki gunung berhampiran resort itu, Gunung Berembun dilitupi hutan tebal, dengan laluan trek mendaki dipayungi pokok besar, menjadikan kawasan itu sentiasa redup.

Selain itu, tarikan bangkai pesawat pengebom B-24 yang dilaporkan terhempas ketika Perang Dunia Kedua menjadi tarikan pendaki.

Berkongsi pengalaman mendaki Gunung Berembun, Zuhairi Mansor, 43, yang membesar di Kampung Pantai berkata kes orang hilang pernah dilaporkan sebelum ini tetapi belum ada yang hilang berhari-hari dan tidak ditemui.

“Orang hilang memang ada, tetapi tidak adalah sampai tak jumpa, selalunya hilang hari ini esoknya dah jumpa… ada kes pendaki mati ketika mendaki pun kita dapat jumpa dan turunkan mangsa,” katanya.

Antara kes orang hilang yang dilapor di kawasan itu ialah:

  • 1 Mei 2019 – Seorang pendaki sesat lebih 12 jam di Gunung Berembun ketika melakukan aktiviti mendaki bersama bapanya. Mangsa berjaya ditemui pukul 8 pagi keesokan hari di kaki gunung itu oleh pasukan penyelamat.
  • 26 Ogos 2017 – 16 orang termasuk kanak-kanak berusia 4 tahun dan bayi 3 bulan dilapor sesat kira-kira 5 jam ketika menuruni Gunung Berembun. Mereka berjaya turun dengan sendiri dan tiba di kaki gunung pada jam 2.05 pagi keesokannya.
  • 16 Okt 2016 – Lima pelajar kolej perubatan sesat lebih 7 jam di Gunung Berembun sebelum diselamatkan pasukan bomba awal pagi esoknya.

Merujuk kepada kes kehilangan Nora Anne, Zuhairi berkata terdapat malim Gunung Berembun yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat remaja itu.

Selain laluan utama dari Balai Polis Pantai, Gunung Berembun juga mempunyai dua laluan lain untuk keluar dan masuk mendaki, iaitu dari Kuala Pilah dan Jelebu.

Seorang lagi pendaki, Syafiq Yusoff, 30, berkata pendakian di gunung yang mempunyai ketinggian 1,014 meter itu agak mencabar dan menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki kerana terdapat pendakian yang menegak.

“Tetapi sepanjang pendakian, pendaki akan menyelusuri sungai dan ‘dihidangkan’ dengan pemandangan pokok-pokok hutan yang tinggi memayungi laluan trek… trek yang ada memang cantik dan elok dengan penanda arah yang disediakan semua lengkap dan kalau betul-betul ikut trek memang tidak akan sesat,” katanya yang mula mendaki sejak berusia 18 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.