1 lagi kematian Orang Asli akibat demam campak, kata menteri

1 lagi kematian Orang Asli akibat demam campak, kata menteri

Kes terbaru itu dicatatkan di Hulu Terengganu, menjadikan keseluruhan 4 Orang Asli suku Batek meninggal dunia akibat demam campak setakat ini.

Dzulkefly Ahmad berkata, wanita Orang Asli suku Batek berusia 39 tahun itu dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun lalu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan satu kematian Orang Asli suku Batek dicatatkan semalam akibat demam campak dan kes terbaru itu berlaku di Hulu Terengganu.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan 4 kematian yang disahkan setakat ini akibat demam campak.

Beliau berkata, mangsa berumur 39 tahun itu dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun lalu.

“Pada 7 Julai, keadaan kesihatan mangsa menjadi tidak stabil dan mengalami sesak nafas. Beliau didiagnos ‘septicaemic shock secondary to right lobar pneumonia’ dan ‘measles with metabolic acidosis’ dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 7.40 malam hari sama (8 Julai),” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Simulasi dan Kemahiran di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkefly berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat wanita itu belum diperolehi.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, 1 kes baru gejala sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang hari ini dan diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru.

Katanya, tiada kes dimasukkan ke wad hari ini.

Seramai 1,094 orang diberi rawatan pesakit luar dan 44 lagi dimasukkan ke wad akibat gejala sesak nafas di Pasir Gudang sehingga hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.