Suspek samun, rogol maut selepas bergelut dengan polis ketika ditahan

Suspek samun, rogol maut selepas bergelut dengan polis ketika ditahan

Selepas ditahan, suspek lelaki tempatan itu mengadu sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

fadil marsus
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau, semuanya berkaitan kes samun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian samun dan rogol di sebuah residensi di Wangsa Maju maut selepas bergelut dengan polis yang menahannya semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku sekitar 12.40 tengah hari semalam apabila pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pecah rumah di kawasan itu.

Sebaik tiba di lokasi, pihak polis memanggil penghuni rumah namun tiada sahutan. Kira-kira lima minit kemudian, pintu rumah dibuka oleh seorang lelaki tempatan, iaitu suspek.

Fadil berkata, apabila anggota polis masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pisau pemotong daging dan cuba menetak mereka.

Berlaku pergelutan apabila anggota polis cuba mengelak serangan tersebut, namun akhirnya lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan..

Semasa pergelutan, suspek juga menumbuk muka dan menggigit tangan anggota polis terbabit, menurut Fadil.

Beliau berkata, setelah ditangkap, suspek mengadu sesak nafas lalu pihak polis menghubungi ambulan yang tiba kira-kira 40 minit kemudian.

“Pegawai perubatan (yang) membuat pemeriksaan mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

Fadil berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini dan laporan makmal telah dimohon untuk mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, tiada kecederaan nyata dijumpai pada badan mangsa.

Berhubung kes jenayah membabitkan suspek, Fadil berkata, suspek masuk ke rumah itu dengan menyamar sebagai penghantar barang sebelum mengikat tangan empat wanita tempatan yang berada di dalam rumah.

Menurutnya, suspek mengurung tiga mangsa di dalam bilik tidur utama manakala seorang lagi mangsa dibawa ke bilik lain dan dirogol oleh suspek sebanyak dua kali.

“Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan,” katanya.

Dalam kejadian itu, katanya, suspek menyamun wang tunai RM200 dan kad ATM milik mangsa.

Semakan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau, semuanya berkaitan kes samun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.